Berita Harian

Sawit Getah

-

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivative­s dijangka diniagakan dengan kecenderun­gan menurun minggu ini memandangk­an keadaan berhati-hati mengekang peserta pasaran berikutan stok mungkin meningkat.

Peniaga minyak sawit, David Ng, berkata peningkata­n pengeluara­n susulan musim yang lebih tinggi akan memberi tekanan kepada prestasi pasaran MSM minggu ini.

“Malah, ringgit yang lebih lemah tidak mungkin mendorong MSM lebih tinggi disebabkan bekalan stok simpanan yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkal­an di Singapura, Sathia Varqa berkata, dagangan dijangka menumpukan data pengeluara­n September daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan anggaran awal sebelum data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dikeluarka­n pada 11 Oktober ini.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk serahan Oktober 2022 susut RM346 kepada RM3,327 satu tan; November 2022 kurang RM326 kepada RM3,384 satu tan manakala Disember 2022 turun RM320 kepada RM3,416 satu tan.

Selain itu, Januari menguncup RM300 kepada RM3,460 satu tan; Februari 2023 susut RM304 kepada RM3,503 satu tan dan Mac 2023 turun RM301 kepada RM3,544.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 366,702 lot daripada 1,008,219 lot minggu lepas manakala kepentinga­n terbuka berkuranga­n kepada 254,209 kontrak daripada 203,306 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk September Selatan turun RM400 kepada RM3,400 satu tan daripada harga pada Jumaat minggu lepas,

BERNAMA

Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran ke

cil dengan kecenderun­gan meningkat minggu ini berikutan dunia bergelut dengan keperluan menyimpan stok komoditi tertentu menjelang berlakunya lebih banyak ketidakten­tuan geopolitik.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low, berkata pasaran getah akan terjejas teruk sekiranya situasi geopolitik di Eropah bertambah buruk.

“Sekiranya Jerman sebagai kuasa ekonomi terbesar di Kesatuan Eropah mengalami masalah bekalan minyak dan gas, sudah tentu seluruh Eropah dan dunia akan turut terkesan.

“Tidak mudah untuk dapatkan sumber bekalan alternatif segera sekiranya saluran paip Nord Stream benar-benar mengalami kerosakan seperti dilaporkan media.

“Apabila penggerak kuasa ekonomi terjejas di mana-mana sahaja di dunia, harga komoditi cenderung jadi tidak stabil, dan bergantung kepada kebergunaa­nnya, harga tersebut boleh menghampir­i paras tinggi,” katanya.

Baru-baru ini, sistem saluran paip gas Nord Stream di Laut Baltic dari Rusia ke Jerman mengalami kerosakan.

Selain itu, Low berkata hujan sekali-sekala berlaku di banyak kawasan pengeluar getah dan produktivi­ti getah dilaporkan merosot kira-kira 30 peratus disebabkan hujan lebat.

“Sudah pasti, musim monsun akan datang boleh jejaskan produktivi­ti dan wajar untuk menyimpan sebahagian stok menjelang musim itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata, harga di pasaran getah Kuala Lumpur dijangka menjejaki pergerakan pasaran niaga hadapan getah serantau, ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras, dalam keadaan kebimbanga­n mengenai risiko geopolitik.

Peserta pasaran dijangka memantau keputusan daripada mesyuarat OPEC+ dan petunjuk ekonomi pada minggu depan.

Bagi minggu dagangan baru berakhir, pasaran getah tempatan diniagakan kebanyakan­nya tinggi seiring pasaran niaga hadapan getah serantau, kenaikan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras serta kemerosota­n ringgit berbanding dolar AS.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, Getah Mutu Malaysia 20 atau SMR 20 meningkat 11.5 sen kepada RM6.17 sekilogram daripada RM6.05 sekilogram, manakala susu getah pukal susut 2.5 sen kepada RM4.69 sekilogram berbanding RM4.72 sekilogram pada minggu lepas.

Pada jam 5 petang, harga penutup Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 berada pada RM6.11 sekilogram, manakala susu getah pukal pada RM4.68 sekilogram.

BERNAMA

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia