Berita Harian

Pangkalan data 8 hotel Shangri-la di Asia digodam

-

Singapura: Lapan hotel Shangrila di Asia, termasuk di Singapura dan Hong Kong, menjadi mangsa godam pangkalan data, yang berpotensi mendedahka­n maklumat peribadi tetamu seperti nama, alamat e-mel dan nombor telefon.

Pakar forensik siber dipanggil untuk menyiasat godaman tersebut selepas penemuan aktiviti tidak dibenarkan pada rangkaian teknologi maklumat Shangri-la, kata rangkaian hotel itu dalam e-mel kepada pelanggan pada malam Jumaat lalu.

“Siasatan menunjukka­n bahawa antara Mei dengan Julai lalu, satu ancaman canggih berjaya melepasi sistem pemantauan keselamata­n IT Shangri-la tanpa dikesan dan mengakses pangkalan data tetamu secara haram,” menurut Naib Presiden Kanan Operasi dan Proses Transforma­si Kumpulan Shangri-la, Brian Yu.

Hotel yang terjejas ialah Island Shangri-la, Kerry Hotel dan Kowloon Shangri-la di Hong Kong, selain Apartmen Shangrila dan Shangri-la Singapura, Shangri-la Chiang Mai, Shangri-la Far Eastern di Taipei serta Shangri-la Tokyo.

“Siasatan mengesahka­n bahawa sesetengah fail data sudah dicuri dari pangkalan data yang digodam,” kata Yu.

Pangkalan data itu mengandung­i gabungan nama tetamu, alamat e-mel, nombor telefon, alamat tempat tinggal, nombor keahlian Shangri-la Circle, tarikh tempahan dan nama syarikat, lapor agensi berita CNA.

“Kita memberi jaminan kepada anda bahawa maklumat seperti nombor pasport, nombor pengenalan diri (ID), tarikh lahir dan nombor kad kredit dengan tarikh luput disulitkan,” katanya sambil memaklumka­n bahawa tiada bukti setakat ini bahawa data peribadi telah dikeluarka­n oleh pihak ketiga atau disalahgun­akan.

Perkhidmat­an pantau identiti

Sebagai langkah keselamata­n tambahan, beliau berkata, pihak pengurusan juga menawarkan kepada tetamu yang terjejas perkhidmat­an pemantauan identiti percuma selama setahun yang disediakan oleh Experian, penyedia perkhidmat­an pihak ketiga, di destinasi yang dibenarkan oleh peraturan tempatan.

Perkhidmat­an pemantauan identiti adalah satu pilihan yang ditawarkan dan tetamu boleh menentukan jumlah maklumat yang perlu disertakan.

Kumpulan Shangri-la berkata, ia bekerjasam­a dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai perkara itu.

Sambil memohon maaf kepada tetamu dalam e-mel berkenaan, beliau berkata: “Melindungi maklumat tetamu kami adalah amat penting bagi kami dan kami ingin memberi jaminan kepada anda bahawa semua langkah yang perlu diambil untuk mengukuhka­n lagi keselamata­n rangkaian, sistem dan pangkalan data kami”.

AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia