Berita Harian

Zahid yakin terima jawapan positif ROS

-

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu akan menerima jawapan positif daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), berhubung usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandi­ng pada pemilihan parti, bulan depan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut yakin jawapan daripada ROS akan diperoleh lebih awal berbanding tempoh 60 hari yang diperuntuk­kan oleh jabatan itu memberi maklum balas kepada UMNO.

Katanya, UMNO sudah mematuhi semua peruntukan dalam perlembaga­an parti dan peraturan Perhimpuna­n Agung UMNO (PAU), sebelum meluluskan usul tambahan berkenaan.

“Oleh kerana PAU adalah badan tertinggi kepada UMNO, maka keputusan dibuat, termasuk menambah usul yang dibentangk­an pencadang ucapan dasar, telah diteliti oleh ROS, kumpulan peguam kami dan setiausaha agung parti,” katanya di sini, semalam.

Pada 31 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama tiga individu menemui Ketua Pengarah ROS, Mohd Nawardi Saad di Putrajaya bagi memberi penjelasan berhubung usul tambahan yang diluluskan di PAU 2022.

Khamis minggu lalu, Ahmad Zahid memaklumka­n, ROS memberi tempoh 60 hari kepada UMNO untuk mengemuka penjelasan dan segala maklumat berkait aduan mengenai usul tambahan dua jawatan utama parti tidak dipertandi­ngkan.

Tempoh 60 hari itu bermula 20 Januari, iaitu tarikh dua ahli UMNO menghantar aduan kepada ROS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan semasa PAU 2022 pada 14 Januari, berkait usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandi­ngkan pada pemilihan parti Mac ini.

Aduan kepada ROS dikemukaka­n ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan berkenaan.

Majoriti perwakilan PAU 2022 yang hadir pada perhimpuna­n itu sebelum ini menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangka­n wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandi­ngkan dalam pemilihan UMNO akan datang.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Ahmad Zahid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, semalam.
(Foto BERNAMA) Ahmad Zahid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia