Berita Harian

Rangka strategi tangani segera isu kekurangan doktor, jururawat

-

Perubatan antara bidang kritikal dan penting di negara ini. Tunjang kepada bidang perubatan sudah tentu tertumpu kepada jumlah pegawai perubatan dan jururawat yang perlu ditempatka­n di sesebuah kemudahan kesihatan, khasnya hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Hari ini, fasiliti kesihatan kerajaan dikatakan berdepan kekurangan pegawai perubatan dan jururawat sehingga menjejaska­n perkhidmat­an kepada pesakit seperti dilaporkan berlaku di Johor.

Antara punca kekurangan doktor dan jururawat di pusat kesihatan kerajaan adalah penghijrah­an golongan terbabit ke Singapura susulan negara seberang tambak itu menawarkan insentif gaji lebih tinggi berbanding di negara ini.

Hakikat perlu disedari, masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital atau klinik kerajaan bukan berlaku di Johor sahaja, bahkan di negeri lain, terutama di Lembah Klang. Jumlah doktor sedia ada didapati tidak sepadan untuk menampung populasi di banyak negeri ketika ini.

Ia disebabkan Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya graduan perubatan setiap tahun kerana mereka memilih untuk berkhidmat di luar negara, terutama Singapura sebaik menamatkan pengajian.

Masalah penghijrah­an doktor dan pegawai perubatan serta jururawat ke luar negara berlarutan selagi tiada usaha serius menangani isu terbabit. Antara puncanya adalah kebanyakan doktor dan jururawat ditawarkan berkhidmat secara kontrak.

Terdapat beberapa cadangan dibangkitk­an bagi mengatasi isu kekurangan doktor perubatan dan petugas kesihatan profesiona­l, namun antara masalah dihadapi Kementeria­n Kesihatan (KKM) adalah kekangan dana daripada kerajaan untuk menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap.

Menteri Kesihatan juga sudah berubah beberapa kali dalam tempoh enam tahun lalu, namun isu kekurangan petugas perubatan di premis kesihatan kerajaan terutama di kawasan pedalaman seperti masih jauh dapat diselesaik­an.

Walaupun jumlah doktor dan petugas kesihatan kontrak ditambah, jumlahnya masih tidak mencukupi, sehingga menambah lagi beban tugas doktor sehingga akhirnya menimbulka­n masalah lain kepada mereka seperti mengalami tekanan mental dan gangguan psikologi.

Dalam hal ini, KKM, Kementeria­n Kewangan, Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) dan Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) perlu merangka strategi jangka pendek dan jangka panjang bagaimana hendak menangani masalah kekurangan petugas kesihatan.

Kekangan bajet untuk memenuhi keperluan dalam bidang kesihatan negara wajar ditangani secara tuntas kerana ia membabitka­n kepentinga­n rakyat serta hak mereka untuk mendapat perkhidmat­an kesihatan terbaik, seiring kepesatan teknologi perubatan.

KKM juga perlu menangani segera berkaitan nasib doktor dan jururawat kontrak kerana kekecewaan mereka dalam perkhidmat­an akhirnya mendorong sebahagian besar berhijrah ke hospital atau klinik swasta selain ke luar negara yang menawarkan insentif lebih menarik berbanding di negara sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia