Berita Harian

PAU platform terbaik noktahkan perselisih­an isu sokongan

- Johor

Perhimpuna­n Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsun­g minggu depan perlu dimanfaatk­an sebagai platform terbaik untuk menoktahka­n perselisih­an faham antara ahli parti berhubung isu sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata penjelasan perlu dibuat pimpinan tertinggi UMNO kepada semua perwakilan parti yang hadir supaya mata hati mereka terbuka luas, tidak lagi ragu-ragu dan berlapang dada menerima keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Adalah sebaiknya juga jika satu ketetapan dapat diputuskan dengan suara majoriti perwakilan untuk membawa usul dan menyokong penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hanya dengan cara ini sahaja dapat menutup mulut golongan pengacau dalam UMNO yang tak habis-habis memperleke­hkan keputusan parti bekerjasam­a dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Nasihat saya, yang sudah itu biarlah berlalu dan kita kena reda dengan segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan UMNO. Sekarang ini masa untuk menghentik­an segala perselisih­an dalaman dan kita kena tumpukan kepada usaha untuk memperkasa­kan kembali UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini dilaporkan menetapkan tarikh Perhimpuna­n Agung UMNO 2023 antara 7 hingga 10 Jun depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, perhimpuna­n agung itu diadakan lebih awal berbanding kebiasaan, sebelum jentera parti turun padang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, jika ahli dan pemimpin UMNO terus bercakaran sesama sendiri, dibimbangi kekuatan parti tidak dapat dikembalik­an.

Apatah lagi, katanya, anak-anak muda yang memerhatik­an gelagat UMNO mungkin akan menjauhkan diri.

“Jika berterusan begini tak mustahil anak muda akan makin jauh meninggalk­an UMNO dan tak berminat lagi untuk mendekati parti keramat ini. Fikir-fikirkanla­h,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia