Berita Harian

Beri hukuman setimpal pelaku gangguan seksual

- Farah Shamimi Mat Nawi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Gangguan seksual isu yang sering timbul dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ia kerap diperkatak­an bagi meningkatk­an kesedaran mengenainy­a, selain memberi sokongan kepada mangsa.

Namun semua itu belum cukup membantu mangsa tampil membuat laporan. Hal ini menyebabka­n si pelaku tidak berasa bersalah dan kerap mengulangi perbuatann­ya.

Gangguan seksual tidak hanya terhad kepada wanita. Sebaliknya lelaki turut menjadi mangsa. Ia boleh berlaku di mana-mana sama ada di tempat awam, malah juga di pejabat. Tanpa tindakan dan kawalan yang baik, gangguan seksual akan menjadi perkara yang boleh menjejaska­n motivasi dan maruah mangsa.

Kementeria­n Sumber Manusia menggarisk­an gangguan seksual sebagai maklumat atau ilmu berkenaan pelakuan kurang disenangi yang disampaika­n melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual berunsurka­n seks yang biasanya dilakukan berulang.

Ada kala kes gangguan seksual turut menjejaska­n mangsa secara fizikal dan mental.

Dari segi gangguan psikologi misalnya, mangsa berada dalam keadaan resah, alami tekanan dan kemurungan, malah boleh membawa kepada cubaan membunuh diri apabila tidak dapat mengawal bebanan emosi.

Tambahan pula, perasaan aib untuk berhadapan dengan orang sekeliling membuatkan mereka semakin tertekan. Oleh itu, mangsa cuba untuk menjauhkan diri daripada bergaul dengan orang lain.

Selain itu, gangguan seksual memberi kesan kepada fisiologi mangsa. Mereka akan mengalami masalah kesihatan seperti sakit kepala, gangguan tidur atau hilang selera makan. Hal ini berlaku kerana mangsa terganggu dengan perkara menimpa dirinya sehingga tidak mampu menolak daripada berfikir mengenai perkara itu.

Jejas prestasi kerja, beri tekanan mental

Jika berlaku di tempat kerja, mangsa lebih tertekan kerana ia memberi kesan terhadap perkembang­an kerjaya mereka. Apatah lagi jika si pelaku adalah kakitangan kanan atau ketua di pejabat. Ia ibarat diluah mati emak ditelan mati bapa.

Keadaan sedemikian boleh menjadi punca tekanan yang hebat kepada mangsa menyebabka­n dia berubah menjadi lebih sensitif misalnya mudah rasa terhina, kurang keyakinan atau mempunyai masalah interperso­nal. Semua ini menyebabka­n mereka akhirnya perlu mencari pekerjaan baharu kerana gagal memberi sepenuh komitmen terhadap kerja.

Isu gangguan seksual juga tidak boleh dilihat dalam kepompong yang kecil. Ia tidak boleh dilihat sebagai ‘isu wanita’ sedangkan kesannya memberi impak besar kepada mangsa, Malah jika membabitka­n mangsa lelaki, kesannya juga sama.

Apatah lagi dalam pandangan sebahagian orang, mereka masih melihat gangguan seksual tidak mendatangk­an implikasi serius kepada masyarakat. Mereka juga berasakan kes sebegini kecil, memalukan dan seharusnya diselesaik­an di belakang tabir.

Persepsi sebegini membuatkan mangsa kes gangguan seksual tidak berani untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa dan akhirnya memilih untuk berdiam diri.

Sesetengah mangsa berasakan tidak mampu untuk berhadapan dengan masyarakat susulan pandangan negatif sebegitu, selain berasa terancam dengan ugutan daripada si pelaku. Hal begini menyebabka­n statistik gangguan seksual bertambah kerana pelaku berasa berani untuk terus menganiaya orang lain.

Gangguan seksual harus dipandang serius dan pelakunya wajar dikenakan tindakan kerana besarnya kesan. Pesalah harus diberikan hukuman yang setimpal dengan perbuatan, manakala mangsa berhak mendapat keadilan yang sewajarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia