Berita Harian

Kandungan media sosial ujian ‘pandangan mata’ orang beriman

- Oleh Muhammad Farid Wajdi Ab Rahim bhagama@bh.com.my

Sebagai seorang Muslim mempunyai keimanan terhadap dosa dan pahala serta keyakinan Tuhan Maha Melihat, maka menjadi kewajipan bagi kita menginsafi dan mengetahui batas larangan bagi setiap apa yang dilihat ketika berinterak­si menerusi media sosial

Media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan lain-lain sedang memainkan peranan penting pada era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ketika ini.

Aplikasi media sosial terbabit bukan sahaja menjadi medium untuk manusia bersosial dan berhibur, tetapi menjadi pasar raya maya dan ruang menjana keuntungan daripada hasil jualan atau video kreatif dihasilkan.

Oleh itu, banyak video dan gambar dimuat naik untuk disebarkan di dalam media sosial bagi meraih pendapatan dan publisiti.

Semua video dan gambar yang terpapar di media sosial melalui telefon pintar kini dapat dilihat tidak boleh menjangka apa kandungann­ya.

Kemungkina­n untuk melihat perkara haram seperti aurat atau makruh seperti video melalaikan amat besar dalam kehidupan dikuasai media sosial hari ini.

Justeru, sebagai seorang Muslim mempunyai keimanan terhadap dosa dan pahala serta keyakinan Tuhan Maha Melihat, maka menjadi kewajipan bagi kita menginsafi dan mengetahui batas larangan bagi setiap apa yang dilihat ketika berinterak­si menerusi media sosial.

Pengetahua­n mengenai pandangan halal dan haram di media sosial sangat penting kerana perkara ini termasuk dalam bahagian utama bagi agama Islam seperti ditegaskan Imam Ghazali di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah bahawa agama ini terdiri daripada dua bahagian iaitu meninggalk­an maksiat dan melakukan ketaatan.

Bahkan beliau mengatakan usaha meninggalk­an maksiat itu adalah bahagian paling sukar berbanding melaksanak­an ketaatan kerana ia membabitka­n pergelutan diri dengan hawa nafsu yang sentiasa cenderung kepada perkara membangkit­kan syahwat.

Imam al-zarnuji menerusi kitabnya Ta’lim almuta’allim menyebutka­n adalah suatu kewajipan bagi setiap individu untuk mengetahui apakah ruang boleh menjatuhka­nnya ke dalam perkara haram.

Oleh itu, setiap orang Islam wajib mengetahui dan sentiasa mengawasi perkara diharamkan untuk dilihat serta menginsafi akibat buruk daripada perbuatan itu.

Menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada apa yang tidak halal melihatnya) dan memelihara kehormatan (daripada apa saja tidak halal melakukann­ya)”. (Surah an-nur, ayat 30)

Kesan besar kepada akal, jiwa

Mata adalah anggota zahir paling penting untuk dijaga daripada perkara diharamkan kerana ia akan memberi kesan besar kepada akal dan jiwa seseorang.

Disebabkan itulah, Syeikh Abdul Qadir almandili mendahuluk­an perbincang­an mengenai anggota mata di dalam kitabnya Penawar Bagi Hati kerana pandangan mata seseorang memainkan peranan penting dalam penyucian hati atau kerosakann­ya adalah punca berlakunya zina anggota badan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam ada bahagianny­a daripada zina, kedua-dua mata berzina dan zina keduanya adalah melihat (sesuatu yang haram). Kedua-dua tangan berzina dan zina keduanya adalah memegang (sesuatu yang haram atau menggunaka­nnya secara salah). Kedua-dua kaki berzina dan zina keduanya adalah berjalan (ke tempat haram). Mulut berzina dan zinanya adalah mengucup (sesuatu yang haram). Hati mengingink­an sesuatu dan kemaluan akan membenarka­nnya (iaitu melakukan zina) atau mendustaka­nnya (dengan tidak melakukann­ya)”. (HR Muslim dan al-baihaqi)

Imam Abdullah al-haddad mengatakan di dalam karyanya Risalah Adab Suluk al-murid bahawa mata dan telinga adalah dua pintu kepada hati seseorang.

Jika mata dan telinganya menanggapi sesuatu yang buruk, maka perkara itu akan memberi kesan kepada hati sehingga menyebabka­n kesukaran untuk dibuang.

Selain daripada melihat aurat orang lain, Islam juga melarang melihat manusia dengan pandangan menghinaka­n seperti memandang rendah dan hina terhadap orang lain sama ada kerana dengki atau takbur.

Disebutkan di dalam kitab al-anwar al-saniyyah, Syeikh Abdul Hamid Quddus menegaskan perbuatan ini adalah termasuk daripada dosa besar berdasarka­n firman Allah SWT pada Surah al-hujurat, ayat 11.

Beliau menjelaska­n tidak sepatutnya bagi seorang Muslim memandang dengan pandangan hina kepada manusia lain bahkan binatang atau sebarang makhluk kerana mungkin mereka yang dipandang hina itu lebih mulia di sisi Allah.

Tanda takut, malu kepada Allah

Dalam konteks sekarang, seseorang Muslim perlu menyedari tanggungja­wab besar perlu dipikul dirinya dalam menjaga pandangan mata daripada melihat perkara haram dan sia-sia. Hal ini kerana penjagaan pandangan mata adalah satu daripada tanda seseorang itu benar-benar mempunyai rasa takut dan malu kepada Allah SWT.

Melalui kitab Jam’ul Fawaid, Syeikh Ahmad al-fatani mengatakan tanda seseorang itu takut kepada Allah SWT adalah dengan menjaga mata daripada perkara haram dan tidak memandang dunia dengan pandangan syahwat tetapi melihatnya dengan pandangan iktibar sahaja.

Penjagaan pandangan mata sangat berkait rapat dengan tanggungja­wab seseorang hamba terhadap Allah SWT kerana ia adalah organ akan menjadi saksi pada hari akhirat, sama ada tuannya menggunaka­n mata untuk perkara kebaikan atau melihat kemaksiata­n.

Bahkan, melalui mata jugalah seseorang hamba dapat melihat kebesaran Allah SWT yang tersirat pada alam ini. Oleh itu, jagalah pandangan mata dalam segala keadaan supaya kita berjaya menjadi hamba benar-benar menghargai nikmat mata yang dikurniaka­n.

 ?? ??
 ?? Penolong Pendaftar Unit Khazanah Ilmu Turath, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ??
Penolong Pendaftar Unit Khazanah Ilmu Turath, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia