Berita Harian

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

-

Tan Sri Robert Kuok mengekalka­n kedudukann­ya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$11.8 bilion (RM54.4 bilion), demikian mengikut senarai terkini 50 Hartawan Malaysia Forbes 2023. Kedudukan Kuok sebagai individu terkaya Malaysia ini bukan baharu kerana beliau telah memegang tempat teratas selama lebih daripada suku abad. Individu kedua terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$10.2 bilion (RM47 bilion). Di tempat ketiga adalah tokoh logam Tan Sri Koon Poh

Keong dan adik-beradiknya dengan gabungan kekayaan sebanyak AS$5.8 bilion (RM26.77 bilion) susut hampir tujuh peratus daripada AS$6.2 bilion tahun lepas.

Ia sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka, Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara, di tengah-tengah kos bahan mentah dan pengangkut­an yang lebih tinggi.

Mengambil tempat keempat ialah Ananda Krishnan dari Maxis yang nilai bersihnya meningkat daripada AS$400 juta kepada AS$5.4 bilion (RM24.9 bilion).

Kedudukan kelima pula masih dikuasai oleh adik beradik Teh yang juga pewaris kepada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dari Kumpulan Public Bank.

Walaupun ekonomi global berdepan dengan penurunan dalam pasaran saham, gabungan kekayaan taikun dalam senarai 50 terkaya di Malaysia itu meningkat kepada AS$81.6 bilion daripada AS$80.5 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-bukhary menduduki kedudukan ke-11 individu terkaya di Malaysia dengan nilai AS$1.6 bilion.

Turut tersenarai adalah Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dari Kumpulan The Weststar dengan kekayaan AS$825 juta dan menduduki tangga ke-24.

Tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim pula disenaraik­an sebagai individu ke-34 terkaya di Malaysia (AS$575 juta).

Antara taikun lain yang melonjak kekayaanny­a pada 2023 adalah gandingan bapa dan anak, Yaw Teck Seng dan Yaw Chee Ming dari Kumpulan Samling, pengeluar utama kayu.

Mereka melonjak ke kedudukan 16 daripada 32 pada tahun lalu apabila kekayaan meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion.

 ?? ?? Robert Kuok
Robert Kuok

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia