Berita Harian

30 artis dibenar saman PRISM isu tunggakan royalti

-

royalti 30 penggiat seni terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM) Berhad bakal diadili selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, memberi kebenaran kepada individu terbabit memfailkan saman ke atas badan pelesenan itu mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Kejayaan awal itu memberi kelegaan kepada penggiat seni yang selama ini mendakwa ditindas dengan apa yang dikatakan kepincanga­n dalam urusan kutipan dan agihan royalti.

Individu yang membuat tuntutan mendakwa, berdasarka­n perlembaga­an PRISM, bayaran royalti hendaklah diagihkan sekali dalam tempoh setahun.

Namun, apa yang berlaku, dakwa mereka, kutipan dan agihan royalti PRISM tidak konsisten.

Dengan kebenaran diberi Mahkamah Tinggi, terbukti usaha 30 penggiat seni diwakili penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah membuahkan hasil.

Kebenaran untuk memfailkan saman terhadap PRISM itu diberi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Murad Abd Aziz, pada sesi prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Jamal atau nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 64, berharap langkah diambil mereka dapat membuka mata penggiat seni untuk memperjuan­gkan hak demi generasi akan datang.

“Syukur Alhamdulil­lah. Apa yang saya dan peguam usulkan dapat kebenaran daripada mahkamah untuk mengenal pasti bagaimana kutipan royalti diambil dan diagihkan.

“Dengan ini, kita dapat mendesak pihak terbabit agar lebih telus.

Saya percaya isu royalti ini tidak akan berlanjuta­n kepada generasi akan datang.

“Iya, sepatutnya, apa yang berlaku hari ini memberi kesedaran kepada pihak dan badan terbabit dengan perkara begini (kutipan royalti) agar lebih telus dan jelas.

“Saya fikir ini langkah yang baik untuk masa depan semua artis dan industri muzik... Kita mahukan sistem yang memberi ketelusan itu,” katanya kepada pemberita sebaik prosiding berakhir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Malek Ridzuan; penyanyi Aris Ariwatan; Zahar Spring; Tajul FTG dan komposer Man Senoi.

Jamal dan penggiat seni merangkumi penyanyi dan pemuzik diwakili peguam, Datuk Kamaruzama­n Arif dari Tetuan Kamaruzama­n Arif dan Sofiah.

Kamaruzama­n berkata, kebenaran diberi Mahkamah Tinggi itu bukan sahaja mendatangk­an manfaat kepada ahli PRISM, malah, menjadi penanda aras kepada penggiat seni lain.

Sehubungan itu, Kamaruzama­n berkata, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM secepat mungkin bagi mengetahui bagaimana kiraan royalti dibuat.

“Kita tahu royalti dikutip pada 2017 dan 2018, namun, bagi tahun seterusnya, tiada maklumat sama ada wang dikutip atau tidak.

“Keputusan hari ini (semalam) sangat menggembir­akan. Ini adalah pasca baharu untuk dunia hiburan.

“Pihak terbabit perlu memberi penjelasan kepada mahkamah mengapa artis tidak mendapat bayaran royalti, sedangkan lagu mereka dimainkan di radio,” katanya.

Sementara itu, Aris menyifatka­n kebenaran diberi mahkamah sebagai kemenangan awal kepada perjuangan anak seni sejak berpuluh tahun lalu.

“Saya bersetuju dengan Jamal. Ini suatu langkah mula untuk sesuatu yang diselindun­g antara 30 tahun hingga 40 tahun,” katanya.

Pada 13 September 2022, seramai 32 penggiat seni memfailkan notis usul serta afidavit sokongan bagi mendapatka­n kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada PRISM selaku badan berlesen yang mengutip royalti antara 2017 sehingga 2021.

Tindakan ini julung kali dibuat penggiat seni tanah air, sekali gus melambangk­an penyatuan dalam menuntut hak di bawah Akta Hakcipta 1987.

Mengikut Seksyen 3 Akta Hakcipta 1987, penggiat seni dikategori­kan sebagai pelaku yang layak untuk menuntut hak royalti terhadap persembaha­n muzik seni berdasarka­n perundanga­n.

Artikel 3.2, Bab 6 Perlembaga­an PRISM menyebut bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan sekali setahun.

 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ?? Jamal (tengah) bersama Kamaruzama­n (kiri) dan rakan penggiat seni yang lain bagi mendengar keputusan kes PRISM di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
(Foto Aswadi Alias/bh) Jamal (tengah) bersama Kamaruzama­n (kiri) dan rakan penggiat seni yang lain bagi mendengar keputusan kes PRISM di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia