Berita Harian

Sevilla juara kali ketujuh

Mourinho tewas buat kali pertama pada aksi final Eropah

-

Budapest: Sevilla membuktika­n mereka adalah pakar Liga Europa apabila menjulang trofi ketujuh berprestij itu selepas menewaskan AS Roma 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti, semalam.

Kemenangan ke atas Roma itu, sekali gus mengecewak­an pengendali­nya, Jose Mourinho yang meraih kekalahan pertamanya dalam enam final di peringkat Eropah.

Selepas perlawanan terikat 1-1 pada masa tambahan, Sevilla bangkit menghukum kelab dari Itali itu pada penentuan penalti dengan Gonzalo Montiel memastikan kemenangan pasukan.

Penjaga gol Sevilla, Yassine Bounou menjadi wira pasukan dalam penentuan penalti apabila menafikan sepakan Gianluca Mancini dan Roger Ibanez.

Sevilla yang menjadi kelab terbanyak menjulang trofi Liga Europa, kini sudah memenangi semua tujuh aksi final disertai mereka.

Paulo Dybala meletakkan Roma di hadapan menerusi serangan balas pada minit ke-35, namun Sevilla mempamerka­n kebangkita­n dan menemui jaringan penyamaan, berterima kasih kepada jaringan sendiri Mancini pada babak kedua perlawanan.

“Ia perlawanan yang mengikut corak Sevilla. Kami terpaksa bergelut untuk menang.

“Ia bukan mudah. Apa yang kami raih daripada kejohanan ini sukar untuk dijelaskan,” kata Lucas Ocampos.

Tak pernah tewas

Ia adalah perlawanan final Liga Europa ketiga berturut-turut yang berakhir dengan penentuan penalti.

Kemenangan itu memberikan Sevilla tempat untuk beraksi di Liga Juara-juara musim depan meskipun menamatkan saingan di luar kelompok empat terbaik La Liga.

Mourinho tidak pernah tewas dalam aksi final Eropah sebelum ini dan pernah membawa Roma meraih gelaran pertama Europa Conference League tahun lalu, sekali gus menjadi jurulatih pertama memenangi semua trofi di peringkat Eropah. REUTERS

 ?? (Foto AFP) ?? Penyerang Roma, Andrea Belotti (kanan) diasak pemain Sevilla, Karim Rekik ketika aksi final Liga Europa, semalam.
(Foto AFP) Penyerang Roma, Andrea Belotti (kanan) diasak pemain Sevilla, Karim Rekik ketika aksi final Liga Europa, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia