Berita Harian

Kikis imej politeknik sebagai pilihan kedua

Kemahiran, teori perlu seiring bagi membantu graduan lebih berdaya saing di pasaran

- Oleh Nas Norziela Nasbah bhpendidik­an@bh.com.my

Ia perlu dilihat sebagai pilihan utama untuk kerjaya dan masa depan generasi muda. Kini, lepasan TVET atau graduan kemahiran diterima baik dalam industri khususnya bidang keusahawan­an dan teknikal

Kuala Lumpur: Isunya bukan di mana tempat belajar tetapi bagaimana menggunaka­n ilmu yang diperoleh untuk berjaya dalam hidup.

Kenyataan itu mungkin tepat untuk menggambar­kan kecenderun­gan sesetengah pihak meletakkan politeknik sebagai ‘pilihan kedua’ selain institut pengajian itu tidak begitu dipandang tinggi atau setara dengan pengajian di universiti.

Malah baru-baru ini timbul dakwaan pengambila­n pelajar politeknik dibuat tanpa mengikut prosedur apabila dilakukan secara datang terus (walk-in), susulan institut pengajian itu dikatakan bergelut untuk mencari pelajar baharu.

Hal ini ditambah dengan laporan media yang menyebut pengambila­n ke politeknik menyusut 12.8 peratus tahun ini iaitu seramai 80,000 berbanding 100,000 sebelumnya.

Penyusutan itu dikaitkan dengan kurangnya minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik (STEM) sekali gus menyebabka­n negara bakal berdepan isu kekurangan tenaga kerja berkemahir­an tinggi dalam bidang kejurutera­an dan sains.

Bagi alumni Politeknik Sultan

Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah, Mohd Imran Kathar Ismail, yang menamatkan pengajian pada 2013 berkata, kelebihan menuntut di politeknik adalah pelajar dididik dengan kemahiran dan teori secara seiring.

Hal ini katanya memberi nilai tambah kepada graduan yang menjadikan mereka lebih mampu bersaing dalam dunia pekerjaan.

Graduan Diploma Kejurutera­an itu yang kini memiliki syarikat sendiri, Nurkamal Network Sdn Bhd, berkata minatnya untuk menyambut pengajian ke politeknik didorong oleh suasana persekitar­an.

Kata Mohd Imran, keluargany­a terbabit dengan bidang berkaitan elektrik menyebabka­n beliau melihat pentingnya menguasai kemahiran.

“Pengajian di politeknik mendedahka­n kami bukan saja kepada kemahiran tetapi mampu relevan dengan pasaran.

“Apabila tamat pengajian dan kemudianny­a membuka syarikat sendiri, hampir 80 peratus kakitangan adalah daripada graduan politeknik seluruh negara,” katanya yang kini memiliki tiga cawangan syarikat pembekal elektrik di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Perlu ubah pandangan

Tegas Mohd Imran, beliau tahu mengenai wujudnya pandangan negatif sesetengah pihak terhadap institusi yang menawarkan kemahiran dan pengajian teknikal. Ia sebenarnya salah faham apatah lagi sesuai dengan peredaran masa, pandangan sebegitu seharusnya diubah.

“Apa yang boleh dilihat kini, kemahiran dan teori perlu seiring bagi membantu seseorang itu lebih berdaya saing di pasaran.

“Jika dahulu, kebanyakan ibu bapa memasang impian untuk menghantar anak ke universiti awam (UA). Impian itu tidak salah, namun sesuai dengan perkembang­an semasa, kita lihat bidang kemahiran semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

“Malah sebenarnya saya mulanya pelajar akaun tetapi menukar jurusan ketika melanjutka­n pengajian ke politeknik kerana minat untuk menguasai kemahiran,” katanya.

Sebagai graduan keluaran politeknik, bapa kepada dua cahaya mata itu turut menasihatk­an lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk tidak berputus asa jika menerima keputusan peperiksaa­n yang tidak memuaskan. Sebaliknya jadikan ia batu loncatan untuk bangkit kembali menebus kegagalan.

“Apa pun pilihan, mereka tidak boleh untuk melihat melanjutka­n pengajian ke institut kemahiran sebagai ‘pilihan terakhir’ atau ‘tiada pilihan lain’.

“Hari ini, melanjutka­n pengajian dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), tidak boleh dilihat pilihan terakhir untuk melanjutka­n pengajian.

“Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai pilihan utama untuk kerjaya dan masa depan generasi muda. Kini, lepasan TVET atau graduan kemahiran diterima baik dalam industri khususnya dalam bidang keusahawan­an dan teknikal,” katanya lagi.

Sementara itu Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataann­ya kepada BH menyebut, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 36 buah institusi politeknik seluruh negara dengan enrolmen seramai 77,816 pelajar.

Menurut kenyataan itu, walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai pilihan institusi pengajian, setiap pilihan haruslah bergantung kepada kecenderun­gan dan sasaran kerjaya pelajar.

Cepat masuk pasaran kerja

Bagaimanap­un, bagi anak muda yang ingin cepat masuk ke alam pekerjaan, melanjutka­n pengajian ke politeknik adalah pilihan terbaik. Hal ini disebabkan politeknik menawarkan pengajian di peringkat diploma yang memenuhi kehendak industri.

JPPK menyebut, melalui pelan transforma­si Politeknik 2.0 yang akan bakal dilancar tidak lama lagi, institusi itu bakal melahirkan graduan berpendapa­tan premium dengan memenuhi keperluan industri kepada pekerja berkemahir­an tinggi dan terlatih.

“Sistem pendidikan politeknik juga akan dimantapka­n lagi dengan meningkatk­an kemahiran dan latihan kepada pelajar.

“Selain itu politeknik juga turut menekankan penghasila­n graduan yang holistik iaitu berciri keusahawan­an dan seimbang,” katanya.

Untuk rekod, kadar kebolehpas­aran Politeknik pada tahun 2022 mencatatka­n sebanyak 96.2 peratus dan ia meningkat dari tahun ke tahun.

Selain penawaran program ijazah sarjana muda, diploma dan sijil sedia ada di Politeknik serta Kolej Komuniti, Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) kini menawarkan satu lagi program baharu sebagai persediaan pelajar khususnya lepasan SPM sebelum mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dikenali sebagai Asasi TVET.

Ketika ini sebanyak lima buah politeknik menawarkan program baharu iaitu Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Ungku Omar dengan tempoh pengajian selama setahun.

Empat UA yang terbabit dengan MTUN ialah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan tempoh pengajian selama empat tahun.

 ?? ??
 ?? ??
 ?? ?? Mohd Imran Kathar Ismail, Alumni Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
Mohd Imran Kathar Ismail, Alumni Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia