Berita Harian

Peka, cakna bantu kerajaan pulih keyakinan masyarakat

-

‘Kalau tiada angin, mana mungkin pokok bergoyang’. Pepatah Melayu ini membawa maksud sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa ada puncanya. Bermakna, sesuatu perkara yang terjadi, pasti ada puncanya.

Sebagai contoh, antara punca kenaikan harga barang faktor seperti peningkata­n kos bahan mentah, kos pengeluara­n atau peningkata­n permintaan dari pengguna.

Contoh paling dekat rakyat pula adalah kejatuhan nilai ringgit ketika ini. Kemerosota­n nilai ringgit memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Antara punca kejatuhan nilai ringgit disebabkan faktor luaran seperti kenaikan kadar faedah tinggi Rizab Persekutua­n Amerika Syarikat (AS) dan bukan disebabkan Malaysia mempunyai asas ekonomi lemah.

Begitu juga apabila tersebar khabar angin menyatakan harga beras atau barang keperluan utama dijangka, sudah tentu ada asas atau punca mengapa harganya bakal meningkat apatah lagi jika ia disuarakan individu yang terbabit dalam perniagaan rantaian bekalan.

Setidak-tidaknya, individu terbabit berani berkongsi pandangan mengenai jangkaan kemungkina­n bakal berlaku kenaikan harga barang dalam pasaran negara dan ia sepatutnya menjadi loceng amaran awal kepada kerajaan untuk bertindak balas jika ramalan itu benar-benar terjadi.

Sebagai contoh, pada Mac lalu, apabila seorang pakar ekonomi menjangkak­an kadar dasar semalaman (OPR) meningkat pada Julai, ada pemimpin kerajaan melenting dan mendakwa laporan itu sebagai fitnah serta mendesak supaya ia ditarik balik.

Namun apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumka­n OPR dinaikkan pada Mei lalu, ia menjadi petunjuk memang betul ‘ada angin bertiup menyebabka­n pokok bergoyang’. Ini menunjukka­n jangkaan, ramalan atau khabar angin terbabit berasas kerana mungkin dibuat berdasarka­n kepada unjuran.

Dalam hal ini, mungkin sudah sampai masa bagi semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, kementeria­n dan semua agensi berkaitan mengubah sikap dan perlu keluar daripada sindrom penafian.

Pengalaman lalu menunjukka­n jika ada kerajaan atau kementeria­n bersikap secara ‘silo’ atau masih terperangk­ap di dalam sindrom penafian, ia hanya akan memakan diri.

Hari ini, isu menyentuh kenaikan harga barang, inflasi, kejatuhan nilai ringgit dan kelembapan ekonomi walaupun bersifat andaian, jangkaan atau unjuran, ia tidak boleh ‘disapu ke bawah permaidani’ lagi.

Kerajaan, menteri, pegawai kementeria­n dan pemimpin politik perlu lebih peka serta cakna untuk bertindak balas kerana rakyat juga lebih pantas memperoleh maklumat serta menapis serta menilainya.

Dalam mendepani apa juga gelora hari ini, kerajaan atau pemimpin tidak boleh lagi berada dalam sindrom penafian kerana ia akan menjadi penghalang terbesar dalam usaha membina keyakinan masyarakat dan mengukuhka­n negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia