Berita Harian

PAS dakwa ramai ahli UMNO mohon sertai parti

-

PAS mendakwa menerima banyak permohonan daripada ahli parti UMNO, terutama ahli yang kecewa di seluruh negara, setiap bulan sejak kebelakang­an ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, mendakwa partinya menerima ribuan permohonan terutama ahli UMNO, termasuk pemimpin cawangan dan Pemuda UMNO.

“Kita mengalu-alukan mereka menyertai PAS atau Perikatan Nasional (PN), kecil tapak kaki, nyiru kami tadahkan,” katanya ketika ditemui pada Program Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Rembau, di Wisma Pasti Seremban, Senawang, semalam.

Yang turut hadir, Pesuruhjay­a PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustafa dan Pesuruhjay­a PAS Rembau, Kamarol Ridzuan.

Mengulas lanjut, Idris, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai mendakwa, kebanyakan ahli UMNO menyertai PAS secara beramai-ramai kerana kecewa berikutan rasa tertipu dengan pimpinan parti mereka sebelum ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada Program Sembang Santai bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera, di Kota Bharu, malam kelmarin, berharap penyokong UMNO akan menyokong

PAS pada PRN.

Beliau, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, penyokong UMNO sudah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menyokong PAS, demi masa depan agama Islam dan kepentinga­n ummah.

“Jika nak tukar pemimpin, saya yakin mereka yang sedia ada dalam parti tidak berani untuk bersuara memandangk­an mereka yang berani sudah habis dipecat.

“Jadi, penyokong UMNO yang di peringkat bawahan ini, yang sayang kepada agama sudah tidak mempunyai pilihan lain. Saya sarankan penyokong UMNO sama ada di Kelantan atau negeri lain supaya undi PAS demi kepentinga­n ummah,” katanya.

Pada majlis itu, Noh mendakwa, UMNO kini sudah lemah dan hanya dilihat sebagai menumpang dalam PH, sekali gus memberi kelebihan kepada PN.

Tanding 13 kerusi DUN

Sementara itu, Rafiei berkata, PAS dijangka bertanding di 13 kerusi daripada keseluruha­n 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan berkata, PAS menyenarai­kan 30 nama kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk dicalonkan bertanding di 13 kerusi DUN itu.

“Mereka yang dicalonkan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesiona­l, selain mereka yang bertanding di peringkat kerusi Parlimen pada PRU15, November lalu.

“Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon akan diputuskan oleh Majlis Syura

PAS,” katanya.

Rafiei tidak menolak kemungkina­n pemimpin Muafakat Nasional (MN) turut dicalonkan mewakili PN pada PRN Negeri Sembilan, yang dijangka diadakan sekitar Ogos tahun ini.

 ?? (Foto Mohd Khidir Zakaria/bh) ?? Idris (dua dari kanan) pada Program Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Rembau di Senawang, semalam.
(Foto Mohd Khidir Zakaria/bh) Idris (dua dari kanan) pada Program Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Rembau di Senawang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia