Berita Harian

Selangor kubu selesa PH

Penganalis­is yakin kerajaan negeri kekal walaupun jumlah kerusi dimenangi dijangka merosot sedikit

-

Kuala Lumpur: Fokus Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri kali ini sudah tentu akan terarah kepada Selangor, negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) yang sedang menerajui Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbira­n Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRN Selangor, bakal menyaksika­n pertembung­an paling besar membabitka­n 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 33 kerusi mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus, manakala enam DUN pula lebih 50 peratus Melayu dan baki 17 kerusi, majoriti pengundi bukan Melayu, yang digenggam kuat oleh DAP, terutama di kawasan bandar.

Sepanjang 15 tahun di bawah pentadbira­n PH, Selangor menjadi aset paling berharga gabungan parti berkenaan dan kawasan bandar terutama, menjadi kubu kuat gabungan ini.

Untuk PRN kali ini, ramai penganalis­is meramalkan tiada parti yang dapat menggugat penguasaan PH walaupun Perikatan Nasional (PN) dilihat bersungguh-sungguh mahu menawan negeri maju itu.

Penganalis­is yakin PH akan kekal mentadbir Selangor berdasarka­n prestasi baik selama ini, namun jumlah sokongan dan kerusi dimenangi dijangka sedikit merosot.

PN belum bersedia

Penganalis­is politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata PH agak selesa di Selangor, apatah lagi dengan prestasi yang tidak boleh dinafikan pencapaian­nya.

“Kekuatan kawasan bandar sukar untuk musuh tembusi dan kawasan luar akan mendapat sedikit suntikan daripada UMNO.

“Walaupun PN dilihat beria-ia untuk menawan Selangor, mereka kelihatan belum bersedia, apatah lagi masih tercari-cari calon yang sesuai untuk diangkat.

“Mungkin PN akan membuat kejutan di beberapa kawasan pinggiran, namun hakikatnya mereka belum cukup kuat untuk menawan Selangor,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi kerusi Parlimen, PH terus memperoleh majoriti kerusi yang ditandingi walaupun kehilangan empat lagi kerusi Parlimen kepada parti lawan.

PH mempertaha­nkan 16 kerusi yang dimenangi sebelum ini, termasuk kerusi disandang bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Gombak dan Datuk Zuraida Kamaruddin di Ampang.

Gabungan berkenaan memperoleh 20 kerusi Parlimen pada PRU14 dengan dua kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu di Sabak Bernam, yang kemudianny­a menjadi kerusi BERSATU apabila penyandang­nya ketika itu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh, meninggalk­an UMNO dan kubu kuat BN di Tanjong Karang.

PN menang enam kerusi Parlimen, termasuk Sabak Bernam dan Tanjong Karang serta Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kapar, sekali gus menafikan BN sebarang kerusi biarpun nama besar seperti Khairy Jamaluddin dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dipertaruh­kan.

Berdasarka­n pencapaian berkenaan, ada kemungkina­n aliran yang sama dijangka berlaku untuk PRN kali ini, namun Gelombang Hijau PN yang dicatatkan PRU15 dengan menidakkan kehadiran BN, kelihatan sukar dipertahan­kan.

Kemasukan beberapa penyokong UMNO/BN dalam PN tidak banyak membantu kerana sokongan mereka bersifat individu bukan membabitka­n perkumpula­n yang besar.

Barisan kepemimpin­an baharu UMNO ketika ini juga dilihat semakin berjaya memulihkan kepercayaa­n ahli terhadap UMNO/BN, lebih-lebih lagi parti itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil, melihat Gelombang Hijau tidak lagi dirasai apabila beberapa pencapaian Kerajaan Perpaduan mula meyakinkan rakyat.

“Memandangk­an Selangor kubu kuat PH, ditambah BN masih ada kekuatan di beberapa kawasan luar bandar, maka peluang untuk PH-BN kekal di kerusi yang sedia ada dipegang mereka masih cerah,” katanya.

BN masih sukar diterima

Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UITM), Mujibu Abd Muis, bagaimanap­un berpandang­an, BN masih sukar diterima di Selangor, lebih lagi dengan persepsi sokongan parti itu kepada DAP.

Justeru, katanya, kerjasama strategik dengan PH mungkin boleh menjadi formula untuk parti bertanding di kerusi Melayu memandangk­an PH boleh menyumbang undi bukan Melayu bagi mengimbang­i undi Melayu yang dijangka jatuh kepada PN.

Pada PRU15 lalu, PH memperoleh 50 peratus sokongan orang Melayu, bererti sokongan Melayu dan bukan Melayu di negeri itu adalah seimbang dan baki 50 peratus sokongan sudah tentu menjadi milik PN, yang diwakili calon BERSATU dan PAS. Calon GERAKAN gagal mengisi mana-mana kerusi dalam PRU15 itu.

Berdasarka­n keputusan itu, mungkin sokongan yang sama berterusan pada PRN kali ini dengan mengambil kira perkembang­an dan prestasi kerajaan negeri ketika ini, malah keyakinan yang ditunjukka­n oleh rakyat dan komuniti perniagaan terhadap pentadbira­n negeri juga sangat meyakinkan.

Berdasarka­n keputusan PRU14, PH memenangi 40 kerusi daripada 55 kerusi di DUN Selangor, yang mana PKR memenangi 19 kerusi, DAP (15), dan AMANAH (enam), manakala BN memenangi lima kerusi.

PN memenangi lima kerusi, yang mana ia berlaku disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

Bagi menghadapi PRN kali ini, Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata pendirian PH negeri sangat jelas seperti yang diputuskan PH Pusat, iaitu semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14.

Dengan kenyataan itu, ia bermakna kerjasama strategik PH-BN tidak banyak berubah dan jika dicongak, kemungkina­n PH-BN akan mendapat 45 kerusi.

Namun, tidak mustahil PN membuat kejutan pada saat akhir jika mereka bijak menggunaka­n situasi dan isu semasa dalam kempen PRN itu nanti.

Kemenangan PAS di enam kerusi Parlimen Selangor dalam PRU15 boleh dijadikan sandaran PN untuk menang lebih banyak di Selangor.

PN boleh meraih undi simpati dengan ‘pendakwaan terpilih’ yang mereka dakwa dilakukan kerajaan ke atas pemimpin PN ketika ini seperti kes mahkamah membabitka­n Pengerusin­ya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gelombang Undi18, dijangka terus bergelora jika PN terus konsisten dengan kempen melalui media sosial seperti Tiktok yang aktif ketika PRU15.

Penerimaan ‘secara terpaksa’ akar umbi UMNO kepada kerjasama parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan juga dilihat banyak pihak sebagai satu kelebihan untuk PN mengambil kesempatan.

Berdasarka­n analisis pasukan PH, sebanyak 31 peratus daripada lebih 5.8 juta undi diterima gabungan itu pada PRU15 adalah daripada orang Melayu.

Analisis sama juga menunjukka­n, gabungan undi diperoleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan menyamai dua pertiga daripada lebih 15 juta undi direkodkan dalam PRU15.

Berdasarka­n data itu, pencapaian yang rendah untuk PH di Kelantan dan Terengganu, namun ada mencecah lebih 50 peratus undi bagi Wilayah Persekutua­n, Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Satu formula yang mungkin wajar dipertimba­ngkan PN untuk menawan Selangor ialah dengan menamakan calon Menteri Besar (MB), namun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendiri­an tidak mengumumka­nnya.

Jika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dinamakan semula, ada kemungkina­n wujud persaingan kuat, namun beliau tidak boleh kekal bertanding di DUN Bukit Antarabang­sa kerana pengundi Melayu di sana tidak sampai 50 peratus.

Mohamed Azmin, yang juga Pengerusi PN Selangor, baru-baru ini dilapor membayangk­an tidak bertanding PRN bagi memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi.

Namun, sama ada ia berita pasti atau sekadar strategi, hanya akan diketahui apabila pengumuman rasmi calon dibuat PN tidak lama lagi.

Sama ada sentimen pengundi Melayu, kerjasama UMNO-DAP menjadi penentu, jentera gabungan PN serta BN-PH perlu menyediaka­n formula, strategi dan tawaran paling menarik untuk menawan Selangor kali ini.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia