Berita Harian

PH yakin menang, PN mampu buat kejutan

-

Pakatan Harapan (PH) yakin sasaran menang dua pertiga daripada keseluruha­n 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai realistik.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari, berkata selain kekuatan undi gabungan itu, sasaran menang sehingga 50 kerusi DUN juga mengambil kira gabungan undi yang diterima Barisan Nasional (BN) selaku rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebelum pilihan raya lepas pun saya tak cakap sasaran 50 kerusi, apa yang saya cakap dapat jumlah dua pertiga (kerusi dimenangi), itu yang realistik untuk kita lakukan.

“Tetapi jika semua undi PH dan BN bergabung semuanya, 50 kerusi DUN itu munasabah. Maknanya, kita tak boleh kata tak mungkin berlaku sebab saya rasa ia mungkin boleh,” katanya selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Tun Hussein

Onn, Cheras di sini, semalam.

Ketika ini, PH menguasai 40 kerusi DUN Selangor, dengan 19 melalui PKR, 15 milik DAP dan enam lagi melalui Parti Amanah Negara (AMANAH). Barisan Nasional (BN) pula menguasai lima kerusi DUN.

Amirudin berkata, untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai, penting sekali untuk PH dan BN turun padang menggerakk­an jentera masing-masing secara bersama bagi meyakinkan pengundi.

“Walaupun ada orang yakin ia tak akan berlaku (kerjasama jentera) atau sebaliknya, tapi ini masa kita untuk yakinkan kedua-dua akar umbi bahawa PH dan BN bergabung untuk super coalition yang menjadi kunci kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Menyentuh agihan kerusi PRN, Amirudin berkata, hanya satu atau dua kerusi belum muktamad dan ia akan diselesaik­an Anwar selaku Pengerusi PH bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengenai calon pula, beliau mengakui, ia akan mengambil sedikit masa dan sebahagian daripadany­a sudah dikumpulka­n sejak sekian lama, termasuk ketika berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Dalam pada itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Bandar Utama, Subang Jaya serta beberapa DUN lain di Selangor dilihat sebagai ‘kerusi hitam’ atau ‘totok PH’.

Tambahan pula, kerusi yang disandang DAP penggal demi penggal itu kebanyakan menang dengan majoriti besar, malah menyebabka­n ada parti lawan hilang deposit.

Sedia tembusi kubu kuat PH

Bagaimanap­un, Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkina­n dapat menembusi ‘kerusi hitam’ itu pada PRN kali ini.

Setiausaha Badan Perhubunga­n Negeri PN Selangor, Dr Afif Bahardin, berkata PN Selangor sedang mengenal pasti calon berkaliber bagi mengisi ‘kerusi hitam’ berkenaan.

“Sudah tentu PN Selangor akan masuk ke semua 56 kerusi DUN ini untuk menang, tiada yang masuk untuk kalah dan di kerusi yang disebutkan itu, kita sedang vet thru calon yang ada.

“Sebab itu kita masuk ke semua kerusi atas nama PN kerana kita yakin jenama PN ini memberi satu harapan baharu kepada rakyat Selangor berbanding gabungan PH-BN,” katanya pada media PN Selangor.

Setiausaha GERAKAN Negeri Selangor, Chai Ko Thing, juga sependapat dengan Afif, malah menjelaska­n bahawa ‘kerusi hitam’ yang didominasi oleh DAP hari ini pernah dikuasai oleh MCA suatu ketika dahulu.

“Menyentuh kerusi majoriti masyarakat Cina, kerusi itu dilabelkan sebagai ‘kerusi hitam’ tetapi seperti Dr Afif cakap, tiada yang mustahil kerana sebelum 2008, itulah kubu kuat BN-MCA. MCA juga menang (semua kerusi itu), begitu juga kali ini, tidak mustahil PN ada peluang menang,” katanya.

PN sebelum ini dilapor menyasarka­n untuk memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandi­ngkan kali ini. Daripada jumlah itu, 30 kerusi disasarkan oleh PAS berdasarka­n jumlah pengundi Melayu yang tinggi di kawasan itu.

Berdasarka­n semakan, 34 kerusi mempunyai pengundi Melayu lebih 50 peratus, dengan 19 kerusi mencatatka­n lebih 70 peratus pengundi Melayu, 15 kerusi lagi lebih 60 peratus pengundi kumpulan kaum yang sama.

Daripada jumlah itu, enam DUN mempunyai lebih 80 peratus pengundi Melayu iaitu Hulu Klang (87 peratus), Sungai Air Tawar (86 peratus), Sungai Burung (86 peratus), Sungai Panjang (84 peratus), Sabak (81 peratus) dan Sungai Ramal (80 peratus).

13 kawasan mempunyai lebih 70 peratus pengundi Melayu, termasuk Gombak Setia, Jeram, Kuang, Kota Anggerik, Sementa, Selat Klang, Paya Jaras, Morib, Batu Tiga, Sijangkang, Sungai Kandis, Dengkil dan Hulu Bernam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia