Berita Harian

‘Nikmat paling besar dapat jejak Tanah Suci’

-

“Inilah nikmat paling besar yang Allah SWT kurniakan kepada saya. Walaupun kaki kanan sudah ‘diambil balik’, saya dapat menunaikan ibadah haji. Mungkin jika masih ada kaki, belum tentu saya dapat ke Tanah Suci.”

Demikian kecekalan serta ketabahan Md Yunos A Rahman, 71, berdepan ujian bergelar orang kurang upaya (OKU) apabila kaki kanannya terpaksa dipotong selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan pada 29 Jun 2022 di Gelang Patah, Johor.

Pada kali pertama menerima tawaran mengerjaka­n haji pada 2020 yang kemudian terpaksa ditangguhk­an akibat pandemik COVID-19, warga emas itu adalah individu normal sebelum nahas yang berlaku kira-kira jam 9 pagi hari kejadian.

Ketika itu, beliau dalam perjalanan menunggang motosikal dari kediamanny­a di Kampung Melayu Gelang Patah ke rumah anak yang terletak sejauh kira-kira satu kilometer, namun dikatakan tiba-tiba dilanggar sebuah kereta dari belakang.

“Apabila sedar di hospital, jururawat memberitah­u saya bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Namun, saya tidak panik... satu titis air mata saya pun tidak pernah jatuh di hospital ketika itu.

“Saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Saya tidak pernah menyesal kehilangan kaki. Bagi saya, ini adalah sebahagian daripada kehidupan. Ramai manusia sempurna pada peringkat awal, namun kita tidak tahu apa yang akan dihadapi pada hari-hari mendatang.

“Saya bersyukur dapat berjalan selama hampir 70 tahun sebelum ini. Mungkin ada hikmah yang lebih baik dengan kehilangan kaki ini... jika ada kaki, kita pun tidak tahu apa yang kita akan buat. Oleh itu, saya tetap amat bersyukur kerana terlalu banyak nikmat yang Allah SWT kurniakan,” katanya.

 ?? ?? Md Yunos A Rahman
Md Yunos A Rahman

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia