Berita Harian

Bekas calon PRU15 DUN Jelapang hadapi 77 tuduhan menipu

Tertuduh didakwa tawar jual tanah, rumah tak wujud babit kerugian RM350,801.95

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri bhnews@bh.com.my

Bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas 77 tuduhan menipu membabitka­n kerugian RM350,801.95 dengan menawarkan penjualan tanah dan rumah yang tidak wujud.

Hamidah Muhamad, 47, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret, R Prabakaran dan Nur ‘Atiqah Sapari di dua bilik mahkamah berasingan.

Hamidah yang juga calon mewakili Barisan Nasional (BN) DUN Jelapang daripada parti mesra BN (Friends of BN), Makkal Sakti, didakwa memperdaya empat individu termasuk tiga beradik dengan menawarkan penjualan beberapa lot tanah dan rumah di Taiping yang tidak wujud.

Wanita itu didakwa menipu guru sekolah menengah di sini, Razhiyah Salleh; guru sekolah rendah di Putrajaya, Robiah Salleh; pengetua sekolah menengah di sini, Faridah Salleh, dan Efendi Zainuddin iaitu pengetua sebuah sekolah menengah di Batu Kurau, di sini.

Setiap mangsa dikatakan mengalami kerugian antara RM10,450 hingga RM114,960 selepas diperdaya tertuduh di beberapa lokasi di sekitar Taiping antara 2021 dan 2022.

Penjara sehingga 10 tahun

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Di hadapan Prabakaran, Hamidah menghadapi 38 tuduhan menipu berjumlah lebih RM200,000 dengan pendakwaan dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng, manakala tertuduh diwakili peguam, S Singaradiv­el.

Sementara itu, di hadapan

Majistret Nur Atiqah dalam kamar berasingan, Hamidah hadapi 39 lagi tuduhan menipu berjumlah lebih RM100,000 dengan pendakwaan dikendalik­an oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

Singaradiv­el berkata, kesalahan yang dihadapi anak guamnya boleh diikat jamin dengan mengemukak­an sebab bahawa anak guamnya itu juga mengalami masalah kesihatan termasuk perlu mendapatka­n rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selain turut menghidap kanser otak dan tulang belakang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM24,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan itu selain tertuduh perlu menyerahka­n pasportnya sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada PRU15 lalu, Hamidah yang bertanding di bawah tiket parti Friends of BN iaitu Makkal Sakti tewas kepada Cheah Pou Hian (DAP) dan hanya meraih 1,443 undi.

 ?? (Foto L Manimaran/bh) ?? Hamidah didakwa di Mahkamah Majistret, Taiping atas tuduhan menipu.
(Foto L Manimaran/bh) Hamidah didakwa di Mahkamah Majistret, Taiping atas tuduhan menipu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia