Berita Harian

Pekerja cemerlang JUPEM maut nahas

Budak 3 tahun turut terkorban kereta terbabas laluan bertentang­an langgar motosikal

- Oleh Abnor Hamizam Abd Manap bhnews@bh.com.my

Penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Seremban-simpang Pertang, dekat Bukit Tangga, malam kelmarin, adalah pekerja cemerlang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Sembilan.

Allahyarha­m Muhamad Hasnul Ramli, 48, menerima Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang (APC) pada minggu lalu dan kemalangan yang meragut nyawanya pada jam 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalanka­n tugas luar di Kampung Jeram Lesong, dekat sini.

Rakan sekerja arwah, Juruukur JUPEM Daerah Negeri Sembilan Barat, Muhamad Fariz Absl Kamarul Azman, berkata Allahyarha­m yang berkhidmat selama 20 tahun adalah seorang yang rajin tetapi tidak banyak bercakap, namun mesra dengan rakan setugas.

“Kali terakhir saya berjumpany­a pada minggu lalu sempena majlis APC dan arwah kelihatan gembira kerana dia seorang daripada penerima anugerah itu,” katanya ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Jelebu, semalam.

Selain Muhamad Hasnul, turut terbunuh dalam kemalangan itu adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

Kemalangan berlaku ketika Perodua Viva dinaiki kanak-kanak itu bersama keluargany­a dari arah Seremban ke Kuala Klawang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentang­an dan berlanggar dengan motosikal dinaiki Muhamad Hasnul yang datang dari arah bertentang­an.

Sempat keluarkan anak

Sementara itu, bapa kanak-kanak terbabit, Koperal Mohd Hariz Shakirin Mohd Yusof, berkata jenazah anaknya dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Seperi, tengah hari semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, anak lelaki berusia enam tahun dan mangsa, dalam perjalanan pulang ke Kuala Klawang selepas membeli barang keperluan di Seremban.

“Saya sempat mengeluark­an anak dalam kereta sebaik kemalangan, sebelum mendapatka­n

rawatan di Hospital Jelebu,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superinten­dan Maslan Udin, berkata pihaknya masih menjalanka­n siasatan lanjut kejadian

itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Ibu dan bapa mangsa dibenarkan keluar hospital, manakala anak sulung mereka masih dirawat akibat trauma dengan kejadian itu,” katanya.

 ?? (Foto ihsan polis) ?? Kemalangan di Kilometer 19 Jalan Seremban - Simpang Pertang yang mengakibat­kan dua maut.
(Foto ihsan polis) Kemalangan di Kilometer 19 Jalan Seremban - Simpang Pertang yang mengakibat­kan dua maut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia