Berita Harian

Titan hancur berkecai, semua lima penumpang terkorban

Letupan dahsyat musnahkan kapal selam pelancong

-

Washington: Kapal selam pelancong, Titan yang membawa lima penumpang ke lokasi bangkai kapal Titanic di dasar Lautan Atlantik, meletup dalam malapetaka dahsyat, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) selepas menemui serpihan kapal itu.

Kesemua lima mangsa yang berada dalam kapal selam itu disahkan maut lewat kelmarin, sekali gus menamatkan operasi pencarian yang berlanjuta­n selama lima hari.

Pengawal Pantai AS berkata, kapal selam itu yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, dipercayai meletup berdekatan dengan Titanic dan ahli keluarga semua mangsa tragedi sudah dimaklumka­n.

Serpihan kapal selam berkenaan yang ditemui pasukan pencarian dan penyelamat berhampira­n Titanic, sekali gus menjadi petunjuk perjalanan Titan berakhir di Laut Atlantik.

Kenderaan menyelam robotik digunakan kapal penyelamat Kanada menemui serpihan kapal Titan yang tenggelam di dasar laut pada kira-kira 488 meter dari haluan Titanic.

Laksamana Muda Pengawal Pantai AS, John Mauger, memberitah­u pemberita bahawa lokasi penemuan adalah kira-kira empat kilometer di bawah permukaan laut, di sudut terpencil Lautan Atlantik Utara.

Kapal Titan yang dikendalik­an syarikat Oceangate Expedition­s (Oceangates) berpangkal­an di AS, dilaporkan hilang sejak ia terputus hubungan selama kira-kira sejam dengan kapal sokongan pada pagi Ahad lalu.

Ia berada pada kedudukan kirakira 45 minit untuk sampai ke bangkai kapal yang paling terkenal di dunia itu.

Oceangate mengenakan bayaran AS$250,000 (RM1.2 juta) setiap seorang bagi menyertai ekspedisi ke bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 3,800 meter dan 700 kilometer ke selatan St John, Newfoundla­nd di Kanada.

Terus kumpul bukti

Kapal selam Oceangate yang dilaporkan hilang itu mampu memuatkan lima orang dengan bekalan oksigen selama empat hari.

Bagaimanap­un, Oceangate tidak mendedahka­n butiran lanjut mengenai bagaimana ia mengesahka­n kesemua penumpang meninggal dunia.

Menurut pegawai pengawal pantai, lima serpihan utama Titan berukuran 6.7 meter ditemui termasuk kon ekor dan dua bahagian badan kapal itu.

Bagaimanap­un, beliau tidak menyatakan sama ada menemui mayat mangsa.

“Serpihan ditemui di sini konsisten dengan letupan dahsyat kapal itu,” katanya.

Sebelum sidang akhbar itu berlangsun­g, Oceangate mengeluark­an kenyataan mengesahka­n tiada mangsa yang terselamat dalam kalangan lima penumpang, termasuk pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Stockton Rush, yang mengemudin­ya.

Empat penumpang lain ialah jutawan Britain yang juga penjelajah, Hamish Harding, 58; dua warga Britain iaitu ahli perniagaan kelahiran Pakistan, Shahzada Dawood, 48, dan anak lelakinya, Suleman, 19.

Mangsa terakhir ialah ahli oseanograf­i Perancis, juga pakar Titanic terkenal, Paul-henri Nargeolet, 77, yang sebelum ini sudah melawat bangkai kapal Titanic berpuluh kali.

Pasukan penyelamat dari beberapa negara menghabisk­an masa berhari-hari untuk mengesan kapal Titan.

Mauger berkata, kapal robotik di dasar laut akan terus mengumpul bukti, namun tidak jelas sama ada usaha pencarian mayat mangsa dapat dilakukan memandangk­an kedalaman melampau di kawasan tragedi berkenaan. REUTERS

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia