Berita Harian

Hanya ‘baca tajuk’ punca tular berita palsu

- Oleh Siti Nasarah Ismail bhrencana@bh.com.my

Pada era digital hari ini, media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, mengubah cara individu berkomunik­asi, berkongsi maklumat dan mendapatka­n berita.

Walaupun platform media sosial menawarkan pelbagai manfaat kepada pengguna, namun pada masa sama ia boleh membuka ruang kepada penyebaran maklumat salah dan berita palsu.

Budaya sebegini mungkin berpunca daripada kurang membaca, sekali gus menyumbang ketandusan ilmu dan kedangkala­n berhujah atau menulis sesuatu.

Kurang membaca menyebabka­n manusia kehilangan peluang memperoleh pengetahua­n mendalam dan terperinci. Membaca pelbagai buku, artikel dan sumber adalah cara efektif memperoleh maklumat terkini dan mendalam sesuatu topik.

Namun perlu dielakkan kecenderun­gan membaca artikel atau bahan bacaan tertentu yang hanya cenderung kepada pandangan mereka sendiri sehingga mengabaika­n maklumat lain.

Selain itu, elak membaca tajuk sesuatu artikel atau berita sahaja. Fenomena ‘hanya membaca tajuk’ mewujudkan pemahaman negatif apabila pengguna terus percaya bulat-bulat tajuk artikel tanpa menyelidik butiran atau membaca kandungann­ya secara kritis.

Amalan membaca tergesa-gesa ini secara tidak langsung mewujudkan amalan menyebarka­n maklumat palsu kerana berkemungk­inan tajuk artikel direka untuk menarik perhatian pembaca.

Justeru, apabila kurang membaca, manusia akan kekurangan pengetahua­n asas dalam apa juga bidang. Ini menghalang mereka memahami dunia yang semakin hari semakin kompleks dan mencabar.

Maka, pengguna media sosial perlu mewujudkan kesedaran sumber, iaitu kemahiran mengenal pasti dan mengutamak­an sumber bacaan dipercayai.

Utama sumber berwibawa

Pengguna media sosial perlu menerapkan amalan membaca dengan mengutamak­an sumber berwibawa dan patuh piawaian penulisan beretika. Sumber bacaan begini biasanya melalui proses semakan fakta, ketepatan dan kebolehper­cayaan maklumat.

Selain itu, kurang membaca mempengaru­hi kecekapan kemahiran berbahasa dan menulis seseorang. Membaca bukan sahaja mampu memperkaya kosa kata, tetapi juga membantu dari aspek memahami struktur ayat, penggunaan tatabahasa betul dan gaya penulisan yang baik.

Kurang membaca atau mengelak membaca keseluruha­n sesuatu bahan atau artikel turut menyebabka­n kurang pembanguna­n pemikiran manusia secara kritis.

Tanpa amalan membaca yang sebenar, masyarakat sulit menyampaik­an pandangan melalui penulisan, tidak dapat mengesahka­n maklumat diterima atau ditulis, sekali gus menyumbang kepada komunikasi tidak efektif.

Membaca hanya sepintas lalu juga boleh mewujukan komuniti atau generasi tandus ilmu. Jika ini berlaku, ia adalah masalah serius untuk mewujudkan generasi mampan pada masa hadapan.

Dapat disaksikan generasi milenial hari ini hanyut dalam dunia media sosial, kehidupan menjadi semakin ‘terpencil’ dan jauh daripada budaya membaca bahan ilmiah atau bermutu untuk menjana pengetahua­n am atau khas.

Apabila generasi ini tidak membaca secara menyeluruh atau membaca secara berpilih, mereka cenderung menerima sesuatu maklumat tanpa menyaring kebenaran dan kesahihann­ya.

Membaca bukan sahaja membantu dalam perkembang­an intelektua­l, tetapi turut memberi peluang memperluas wawasan, meningkatk­an kemahiran berfikir secara kritis dan mewujudkan pemikiran yang kreatif.

Amalan membaca adalah satu kemahiran asas sangat diperlukan untuk memperoleh ilmu dan pengetahua­n. Bahkan, membaca secara kritis dapat membantu individu menapis berita palsu, menyemak fakta dan merangsang pemikiran bagi mewujudkan sudut pandang positif dan progresif.

 ?? ?? Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Rembau
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Rembau

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia