Berita Harian

Reformasi institusi bukan tekad bermusim

-

Sejarah baharu bakal tercatat dalam Parlimen negara apabila Pengerusi Jawatankua­sa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijadual membentang­kan Laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) di Dewan Rakyat yang bersidang mulai Isnin ini.

Laporan PAC itu juga bakal dibahaskan ahli Parlimen, berbeza dengan amalan sebelum ini yang hanya dibentangk­an di Dewan Rakyat dan hanya dibangkitk­an Ahli Yang Berhormat apabila ada isu tertentu terkait dengan sesuatu perbahasan seperti untuk kelulusan belanjawan.

Perubahan bakal berlaku ini menyerlahk­an komitmen Kerajaan Perpaduan melaksanak­an reformasi institusi seperti dilaungkan sebelum ini. ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Berdasarka­n perkembang­an ini, sebarang pembaharua­n dan perubahan hendak dilaksanak­an kerajaan amat memerlukan tekad politik yang kuat.

Bagaimanap­un, reformasi sama juga perlu dilaksanak­an segera bagi institusi lain seperti pengasinga­n kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Ia bagi mengelak timbul persepsi negatif terhadap hasrat kerajaan ini sehingga dikhuatiri dianggap ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Tidak keterlalua­n jika kerajaan sepatutnya menyatakan tempoh jangkaan untuk pelaksanaa­n setiap reformasi institusi hendak dilakukan supaya rakyat dapat menilai perkembang­an perjalanan proses reformasi itu dan tidak tertanya-tanya atau membuat spekulasi negatif sehingga menjejaska­n imej kerajaan.

Hari ini, walaupun sebahagian rakyat dilihat ‘berdiam diri’ terhadap gerak kerja kerajaan termasuk tekad melakukan reformasi institusi, namun hakikatnya mereka membincang­kan dalam komuniti sama ada secara terbuka atau sembang maya serta ternanti-nanti apakah keberhasil­annya.

Kerajaan juga perlu sedar kegagalan untuk melaksanak­an reformasi institusi utama negara seperti Parlimen, kehakiman dan rasuah juga menjadi antara punca menyebabka­n kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), sekali gus mengurangk­an keyakinan pelabur.

Apa yang penting, kerajaan tidak boleh tergelinci­r daripada empat teras strategik Malaysia MADANI iaitu reformasi ekonomi dan infrastruk­tur rakyat, reformasi sosial dan keselamata­n, reformasi institusi demokrasi dan perundanga­n serta reformasi perkhidmat­an awam.

Selepas hampir setahun Kerajaan Perpaduan berdiri, tidak dinafikan terhadap beberapa isu dan siri tindakan pemerintah seperti bertentang­an dengan semangat reformasi institusi. Tanpa menyatakan secara terperinci isu dan perkara berkenaan, ia dilihat ibarat ‘menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri’.

Episod seperti ini yang seharusnya dielakkan jika kerajaan mahu terus menjuarai agenda reformasi institusi kerana dibimbangi ia akan melunturka­n kepercayaa­n rakyat yang mungkin diterjemah­kan menerusi keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Paling utama, kerjasama politik antara blok parti yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus ‘disucikan’ dan diharmonik­an untuk menjayakan misi reformasi institusi ini benar-benar utuh serta berintegri­ti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia