Berita Harian

Generasi muda perlu berani tepis gejala buli siber

- Oleh Prof Madya Dr Tengku Siti Aisha Tengku Mohd Azzman bhrencana@bh.com.my

Gejala buli berlaku dalam kehidupan manusia hari ini jelas sekali mengalami proses evolusi. Jika dulu, buli dikaitkan dengan penderaan fizikal dan mental secara bersemuka tetapi hari ini, buli turut berlaku secara maya.

Berdasarka­n kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia merekodkan kes tertinggi buli siber dalam kalangan belia dan remaja.

Buli siber sudah tentu berlaku melalui penggunaan teknologi komunikasi seperti teks, emel, laman web sosial dan aplikasi sembang. Ia perilaku membimbang­kan berbanding buli tradisiona­l ‘serangan’ boleh dilakukan secara berpanjang­an dan berulang kali.

Pelakunya cenderung untuk menakutkan, memalukan atau mendatangk­an kemarahan mangsa. Belia dan remaja cenderung terbabit dalam buli siber untuk mendapatka­n kuasa atau populariti di kalangan rakan sebaya.

Pembuli siber akan memberi komen dalam talian secara kasar atau menyakitka­n hati, menyebarka­n khabar angin dan fitnah atau menyiarkan gambar memalukan sehingga mengganggu emosi mangsa. Uniknya, pelaku boleh berselindu­ng di sebalik profil palsu di media sosial tanpa menggunaka­n identiti sebenar serta sukar dikesan.

Justeru, impak buli siber adalah hampir sama atau lebih buruk berbanding buli cara lama kerana ia boleh mendatangk­an kesan negatif ke atas mangsa dari segi emosi, fizikal atau mental secara berterusan.

Perlukan pemantauan ibu bapa

Kes tular sebelum ini di negara barat membabitka­n bunuh diri akibat buli siber termasukla­h kes Amanda Todd, Megan Meier dan Phobe Prince. Malaysia juga tidak berkecuali.

Media tempatan melaporkan seorang gadis berusia 20 tahun di Pulau Pinang bertindak menggantun­g diri kerana tidak tahan dibuli dalam laman media sosial.

Mangsa berkemungk­inan mengalami episod buli siber secara berulang kali disebabkan tidak upaya bertindak balas dan mencegah kejadian buli siber seterusnya.

Oleh itu, masyarakat Malaysia harus bekerjasam­a menangani dan mencegah amalan buli siber, terutama di media sosial dan aplikasi sembang seperti Whatsapp dan Telegram. Semua pihak harus bekerjasam­a mewujudkan kesedaran rakyat mengenai bahaya buli siber.

Pemantauan ibu bapa amat diperlukan untuk membendung perilaku negatif ini. Perbincang­an terbuka dalam kalangan masyarakat mengenai buli siber juga harus digalakkan supaya belia dan remaja lebih cakna serta berhati-hati menggunaka­n media sosial serta internet.

Pengguna media sosial dan internet seharusnya mengamalka­n kawalan diri, beradab dan empati terhadap orang lain. Sebagai contoh, disebabkan Malaysia adalah negara berbilang budaya dan kaum, sangat penting untuk pengguna media sosial mengambil kira perbezaan kaum, etnik dan agama.

Sebagai netizen, pengguna media sosial harus mengelak mengulas isu sensitif atau melontarka­n komen dalam talian secara semberono sambil berselindu­ng di sebalik profil palsu.

Sementara itu, mangsa buli siber boleh menggunaka­n teknologi komunikasi dan media sosial untuk menyekat pembuli siber daripada terus mengganggu. Mangsa buli siber perlu berani tampil membuat laporan polis, mengambil gambar tangkap layar perbualan pembuli, menyekat pembuli untuk akses akaun media sosial atau aplikasi sembang.

 ?? ?? Ketua Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Pengetahua­n Berteraska­n Wahyu dan Sains Kemanusiaa­n Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia
Ketua Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Pengetahua­n Berteraska­n Wahyu dan Sains Kemanusiaa­n Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia