Berita Harian

‘Mahligai kami masih utuh’

Haqiem Rusli tepis dakwaan rumah tangga berantakan, sifatkan Sofea isteri terbaik

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwina­n bulan depan, rumah tangga Haqiem Rusli dan isteri, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, tidak habishabis diuji sejak mereka memulakan fasa hidup berkeluarg­a.

Dilihat sudah lama tidak berkongsi foto bersama isteri dalam media sosial, rumah tangga penyanyi lagu Tergantung Sepi ini dikatakan di ambang keretakan.

Malah, beberapa bulan lalu, tindakan Wan Anis Sofea atau mesra disapa Sofea menanggalk­an hijab dan sering tampil seksi didakwa menjadi punca hubungan mereka dingin.

Bertemu Haqiem atau nama sebenar, Ridzuan Haqiem Rusli pada sidang media musim ketiga program realiti, Famili Duo (FD3) di Putrajaya, baru-baru ini, soalan panas itulah yang diajukan kepadanya.

Enggan membiarkan spekulasi bertebaran, pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 menjelaska­n mahligai dibina bersama Sofea masih utuh meskipun jarang memaparkan foto bersama dalam media sosial.

“Hubungan saya dengan Sofea baik-baik sahaja. Mungkin sebab isu yang tercetus sebelum ini membuatkan kami jarang kongsi foto bersama dalam media sosial.

“Kami ada kehidupan sendiri. Tidak mungkin setiap hari hendak kongsi gambar berdua.

“Saya harap semua pihak tidak menilai sesuatu itu hanya berdasarka­n apa yang dikongsi dalam media sosial sahaja. Hidup ini bukan semata-mata dalam media sosial,” katanya.

Sudah lali kata-kata negatif

Pengalaman dihujani kecaman sejak mula melangkah ke dalam dunia hiburan membuatkan Haqiem lebih berhati-hati dalam memberi maklum balas terutama membabitka­n kehidupan peribadi.

Justeru, penyanyi berusia 25 tahun ini lebih selesa mengunci mulut daripada melenting hanya kerana mahu mempertaha­nkan diri.

“Sejak bergelar artis lagi saya sudah dikecam. Boleh dikatakan saya sudah lali dengan kata-kata negatif dilemparka­n.

“Selagi tidak melampau batas, saya biarkan apa sahaja mereka hendak kata,” katanya.

Mengulas tindakan memuat naik video lama isteri mengenakan tudung hingga ada yang menyangka Sofea sudah kembali berhijab, Haqiem berkata, dia tidak berniat mengeliruk­an sesiapa.

Sebaliknya, perkongsia­n itu adalah sebagai motivasi untuk wanita kesayangan­nya itu yang didakwa tidak henti-henti diduga pelbagai ujian.

“Video itu dikongsi kerana saya hendak gambarkan dia isteri hebat dan baik meskipun ketika ini sedang diuji pelbagai cabaran.

“Saya tidak ada masalah kalau ada yang hendak beri nasihat. Tetapi biarlah dengan katakata positif. Saya bersyukur ramai juga mendoakan yang baikbaik untuknya.

“Salah satu tujuan saya muat naik video itu adalah untuk beritahu Sofea bahawa ramai sayangkan dirinya,” katanya.

Sertai FD3 bersama Ariff Bahran

Berkongsi pembabitan­nya bersama Ariff Bahran dalam program FD3, Haqiem memilih Ariff kerana tidak mahu bakat luar biasa saudaranya itu terbiar.

“Ariff antara rakan artis yang paling rapat. Kami berkawan sejak 2016. Apabila kami bersembang, barulah saya tahu, ayah Ariff ada pertalian darah dengan ibu saya. Kami sepupu jauh.

“Apabila saya dapat tawaran untuk menyertai program ini, saya ajak Ariff dan dia bersetuju. Selama ini, dia sibuk uruskan perniagaan. Saya hendak dia buat kemunculan semula dalam sebab Ariff ada bakat luar biasa,” ujarnya.

Selain Haqiem dan Ariff, FD3 membariska­n Ryan Bakery dan Adam Bakery (Duo Adik Beradik); Tom dan Fuad Rahman (Duo Suami Isteri); Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (Duo Adik Beradik) dan Shila Amzah dan Syahir (Duo Adik Beradik).

FD3 bakal menemui penonton setiap Ahad jam 9 malam di TV3 dan strim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play atau App Store bermula 15 Oktober ini.

 ?? ??
 ?? (Foto Genes Gulitah/ BH) ?? Haqiem akui jarang berkongsi foto bersama isteri di media sosial.
Mempunyai pertalian darah, Haqiem bakal membawa cabaran dalam FD3 bersama Ariff.
(Foto Genes Gulitah/ BH) Haqiem akui jarang berkongsi foto bersama isteri di media sosial. Mempunyai pertalian darah, Haqiem bakal membawa cabaran dalam FD3 bersama Ariff.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia