Berita Harian

Amanah, semangat jayakan Dasar Gaji Progresif

-

Pandemik COVID-19 bukan sahaja menggandak­an isu penganggur­an dan guna tenaga tidak penuh sehingga satu pertiga daripada graduan bekerja dalam kategori buruh separa mahir serta berkemahir­an rendah, bahkan masalah gaji rendah, tidak setimpal dengan produktivi­ti dan peningkata­n gaji perlahan serta statik. Malah, ia diburukkan lagi dengan persoalan tatakelola dan tadbir urus dibelenggu dengan rasuah dan salah guna kuasa sejak sekian lama, selain cabaran ekonomi global dan krisis geopolitik yang turut menjejaska­n negara.

Di sebalik usaha kerajaan sebelum ini memperkena­lkan dua inisiatif jangka panjang, iaitu Perintah Gaji Minimum (PGM) dan Sistem Upah Yang Dikaitkan dengan Produktivi­ti (PLWS) serta penyelesai­an jangka pendek ekoran pandemik, Program Subsidi Upah (PSU), ia belum memberikan jawapan tuntas kepada rakyat terutama golongan pekerja di negara ini, apatah lagi mereka turut berdepan dengan inflasi dan kenaikan kos sara hidup serta harga barang.

Dalam konteks inilah, kita melihat Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangk­an Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai reformasi gaji yang perlu dilakukan dengan berani dan drastik, tetapi secara bertanggun­gjawab supaya menepati sasaran golongan pekerja dan meningkatk­an produktivi­ti kepada syarikat tanpa menyebabka­n gangguan ekonomi serius apabila mekanismen­ya dilaksanak­an sukarela, berteraska­n insentif dan peruntukan disuntik kerajaan.

Pendekatan menang-menang ini tidak meletakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang membentuk 97 peratus majikan di negara ini dalam situasi terbeban sepenuhnya, tetapi mendapat insentif untuk membolehka­n mereka menyesuaik­an pelan perniagaan dan daya tahan syarikat. Golongan pekerja pula bukan hanya dapat menikmati peningkata­n gaji, bahkan menambah baik tahap kemahiran dan memperoleh inisiatif untuk meningkatk­an produktivi­ti.

Bagaimanap­un, kita mengingatk­an kerajaan memberikan perhatian kepada maklum balas daripada pemegang taruh sama ada pekerja mahupun majikan dari semasa ke semasa kerana kejayaan dasar ini bergantung kepada hubungan timbal balas kedua-dua pihak berkenaan. Pada masa sama, kita juga meminta kerajaan mempertimb­ang penyertaan syarikat senaraian awam dan bersaiz lebih besar, tetapi tidak termasuk dalam kategori syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat multinasio­nal kerana pekerjanya tidak terlepas daripada isu gaji rendah dan tidak setimpal produktivi­ti.

Kita mengambil kesempatan untuk mengingatk­an semua syarikat mendaftar sebagai ‘Majikan Gaji Progresif ’ supaya memastikan tatakelola dan tadbir urus dilakukan secara beramanah serta berintegri­ti kerana kita tidak mahu insiden tuntutan palsu dalam PSU dan Program Penjana Kerjaya berulang hingga berlaku ketirisan yang hakikatnya akan menjejaska­n masa depan perusahaan sendiri. Bagi golongan pekerja pula, manfaatkan peluang diberikan dengan menambah baik kemahiran sangat diperlukan dalam pasaran kerja lebih mencabar, sekali gus meningkatk­an produktivi­ti yang dapat memberikan pulang bukan sahaja kepada syarikat, bahkan mereka sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia