Berita Harian

Tugas berat BN ubah kedudukan 40-0 lawan

141,382 pengundi tentukan nasib penampilan pertama kedua-dua calon

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Selepas dua minggu berkempen dan dianggap ‘pertembung­an penutup tirai’ tahun ini, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini akan ditentukan oleh 141,382 pengundi bagi menunaikan tanggungja­wab masing-masing.

Mata kini tertumpu kepada dua calon iaitu Barisan Nasional (BN) yang meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk berdepan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Ini adalah penampilan pertama bagi kedua-dua calon itu untuk merebut kerusi Parlimen Kemaman selepas kerusi itu diisytihar­kan kosong apabila kemenangan calon PAS sebelum itu, Che Alias Hamid terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad

Hisham Wan Abdul Jalil, susulan berlaku sogokan pilihan raya untuk meriah undi.

Walaupun kedua-dua calon menyatakan mempunyai peluang untuk menang, namun terdapat sedikit kebimbanga­n dengan jumlah keluar mengundi yang dijangka berkuranga­n. Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangka peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Kemaman hari ini adalah 70 peratus.

Jangkaan itu berdasarka­n trend keluar mengundi dalam PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. Ini kerana, katanya, selain pengundi sudah lesu kerana perlu mengharung­i tiga pilihan raya dalam tempoh tidak sampai setahun, keadaan cuaca yang tidak menentu di Kemaman juga menjadi antara faktor orang tidak mahu keluar mengundi.

Berdasarka­n laman sesawang Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a), hujan dijangka melanda beberapa daerah Kemaman secara berterusan pada hari pengundian.

Sehubungan itu, Pengarah Metmalaysi­a Terengganu, Rosli Zakaria mengingatk­an pengundi berhati-hati memandu dan menjaga keselamata­n diri ketika keluar mengundi.

“Pengundi dan orang ramai juga perlu peka dengan keadaan cuaca serta perubahan persekitar­an dan dapatkan status cuaca serta paras air sungai yang terkini,”

katanya.

PRK Parlimen Kemaman juga berlangsun­g agak unik ketika hari pengundian awal pada 28 November lalu apabila hanya tiga pengundi direkodkan pada hari berkenaan, skeali gus ia menjadi tempoh mengundi paling cepat pernah berlaku di negara ini.

Ketiga-tiga individu itu adalah pasangan kepada anggota ATM, manakala 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang layak mengundi awal pula diarahkan melakukan undian secara pos pada 23 dan 24 November lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan memaklumka­n kaedah itu ditukar bagi memastikan anggota dapat memberi tumpuan kepada kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

PRK Parlimen Kemaman dilihat menjadi tugas berat kepada BN bagi mengubah kedudukan 40-0 di pihak lawan di Terengganu yang dimenangin­ya ketika perebutan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan ‘telur’ dan masih dengan ‘mood 40-0’, yang secara jelas menolak kepimpinan UMNO, PKR, AMANAH dan DAP.

Sementara itu, penganalis­is politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata terdapat beberapa faktor membuatkan seseorang individu itu memberikan undi kepada calon bertanding.

Naratif Melayu dan Islam

Katanya, sebagai sebuah Parlimen di Terengganu yang tergolong sebagai kawasan maju walaupun mempunyai kampung dan FELDA, pengundi akan menyokong PAS kerana parti itu masih mempunyai naratif ‘Melayu dan Islam; terutama ia mempunyai kira-kira 93 peratus pengundi dalam kalangan Melayu.

“Selain itu, pemilihan Menteri Besar sebagai calon juga menjadi satu kelebihan kepada PAS, kerana sudah tentu rakyat berfikiran Dr Sam (Ahmad Samsuri) mampu menjaga kawasan mereka serta mendapat manfaat daripada sudut pembanguna­n negeri.

“Berbeza pula dengan BN, pengundi akan melihat parti ini mampu membawa kepada kestabilan politik negara kerana mereka kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang mempunyai 152 sokongan dalam Parlimen.

“Jika rakyat Kemaman memberi peluang kepada BN, banyak peluang akan diperoleh yang berkemungk­inan calon berstatus jeneral bersara itu akan diangkat menjawat jawatan dalam Kabinet, seterusnya mampu membawa pembanguna­n kepada rakyat di Parlimenny­a.

“Selain itu, pengundi menyokong BN juga kerana parti itu mempunyai ‘track record’ yang pandai dalam urusan memajukan negara ini berbanding PAS. Rekod menunjukka­n kebanyakan pembanguna­n di Terengganu ini dibuat ketika BN memerintah, walaupun PAS pernah memerintah pada 1999 hingga 2004 dan kemudianny­a pada 2018 hingga 2022, namun tidak banyak pembanguna­n dilakukan,” katanya.

Mazlan berkata, dari segi peluang kemenangan itu, PAS akan menjadi pilihan berbanding calon ‘underdog’ yang diketengah­kan BN.

Pada PRU15, Che Alias Hamid berjaya mempertaha­nkan kerusi Parlimen Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Bagaimanap­un, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Petugas SPR membuat persiapan untuk PRK Parlimen Kemaman.
(Foto BERNAMA) Petugas SPR membuat persiapan untuk PRK Parlimen Kemaman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia