Berita Harian

Kempen ‘bahasa orang kampung’ tentukan keputusan PRK Kemaman

Kemaman pernah menjadi kubu kuat BN, lahirkan tokoh seperti bekas MB, Allahyarha­m Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad adalah daerah paling maju dan mempunyai pengundi bukan Melayu terbesar di Terengganu PAS mahu menang sebagai strategi besar tampilkan potensi sosok

- Oleh Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar bhrencana@bh.com.my Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Hari ini, pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bakal menentukan keputusan pertembung­an dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS. BN mempertaru­hkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, manakala PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS.

PRK terpaksa diadakan ekoran Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalka­n kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti berkenaan sewaktu tempoh berkempen.

Untuk rekod, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) dan dua calon lain.

Ahmad Samsuri anak kelahiran Besut juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, manakala Raja Mohamed Affandi walaupun anak jati Kemaman, beliau lama berkhidmat di luar negeri itu.

Bagaimanap­un dari sudut profil demografi calon, tidak timbul isu calon anak tempatan atau calon luar kerana trend pilihan raya menunjukka­n asal usul calon bukan penentu aras sokongan.

Dari sudut latar belakang pilihan raya, Kemaman pernah menjadi kubu kuat BN, sekali gus melahirkan ramai tokoh politik seperti Allahyarha­m Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, iaitu bekas Menteri Besar dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebagai daerah paling maju di Terengganu dan hub carigali petroleum, pengundi Kemaman boleh diklasifik­asikan sebagai pengundi bandar serta separa bandar. Hanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih meliputi kawasan pertanian, sekali gus dikira luar bandar.

Parlimen ini juga mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu terbesar, iaitu hampir 13 peratus. Ghalibnya, memenangi kerusi Kemaman adalah manifestas­i kekuatan dan pengesahan sokongan rakyat pada parti berkenaan.

Strategi PAS meletakkan Ahmad Samsuri boleh difahami sebagai strategi besar PAS untuk menawan Putrajaya. Sebelum ini, PAS gagal bersaing solo pada pilihan raya kerana ketiadaan sosok boleh ditawarkan sebagai calon Perdana Menteri seperti jelas dibuktikan dalam keputusan PRU14 pada 2018.

PAS faham budaya politik Malaysia perlukan sosok Perdana Menteri teknokrat namun dalam acuan Melayu-islam tebal. Justeru, ia mengunjurk­an kemenangan Ahmad Samsuri di kerusi Parlimen akan menambahka­n profil beliau setelah cemerlang mengemudi kerajaan Negeri.

Malah, ia turut membuka spekulasi dalam hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga tidak hairan jika selepas ini PAS memilih untuk meninggalk­an rakan kongsi mereka setelah yakin untuk menawan Putrajaya

Sepanjang kempen PRK, kempen ‘Dr Sam untuk Malaysia’ dan ‘Dr Sam Perdana Menteri ke-11’ tersebar meluas ke ruang media sosial rakyat. Pemerhatia­n di lapangan jelas menunjukka­n pengundi Kemaman mahu menghantar sosok ini ke Parlimen.

Kitar semula modal lama

Dari segi BN pula, ia dijangka semakin kehilangan undi atas beberapa faktor. Faktor luaran adalah seperti penganjura­n konsert Coldplay yang diteruskan walaupun menerima bantahan, kenaikan harga barang asas di pasaran, dakwaan isu larangan berlebihan dalam bersolidar­iti bersama Palestin, petisyen Nik Elin Zurina memohon mahkamah Persekutua­n mengisytih­arkan 20 seksyen kesalahan jenayah syariah terbatal dan tidak sah serta populariti Perdana Menteri menurun hasil kajian Merdeka Centre menjadi liabiliti buat UMNO.

Tambahan pula, modal ‘pengaruh DAP dalam Kabinet PMX’ masih laku untuk dijual di Negeri Penyu Menangis ini. Walaupun isu ini jelas dimanipula­si hingga melampaui batas rasionalit­i, ia mewujudkan persepsi Kerajaan PH-BN tidak mesra

Islam, lunak pada kaum bukan Melayu dan gagal mengotakan janji sering mereka laungkan semasa menjadi pembangkan­g.

Faktor dalaman pula adalah rekod cemerlang Ahmad Samsuri dalam menerajui Terengganu. Setelah menang besar 32-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, simpati rakyat pada kerajaan Terengganu semakin bertambah ekoran isu federalism­e tercalar apabila Kerajaan Pusat didakwa masih belum membayar baki wang ehsan hasil petroleum kepada Terengganu.

Begitu juga ketidakpua­san hati ahli Parlimen dari Terengganu tidak menerima peruntukan seperti ahli Parlimen daripada blok Kerajaan. Ia dipolitikk­an lantas berjaya meraih simpati pengundi, walaupun sebenarnya peruntukan tetap disalurkan kepada kawasan Parlimen namun melalui agensi kerajaan.

PAS memegang institusi masjid dan surau di negeri ini menjadikan isu luaran serta dalaman dapat disebarkan kepada rakyat menggunaka­n laras bahasa ‘orang kampung’. UMNO tidak mempunyai keistimewa­an begini, sekali gus menjadikan­nya semakin jauh daripada akar umbi.

Pengundi bukan Melayu dijangka bulat kepada PH-BN, satu trend berlarutan sejak PRU12. Kubu kuat UMNO di Air Putih, iaitu kawasan pedalaman di Kemaman juga berjaya ditembusi PAS pada PRN lalu. Undi peneroka FELDA juga dilihat akan berpihak kepada PAS.

UMNO semakin hilang taring ekoran kemarahan ahli parti sendiri terhadap kepemimpin­an parti mereka memilih untuk bersama dengan DAP belum reda. Gabungan ini masih memerlukan masa untuk kembali meraih sokongan ahli UMNO.

Penguasaan PAS dijangka semakin kukuh selepas PRK Kemaman. Persoalan di sini, adakah ‘gelombang hijau’ ini akan terus membadai ke kawasan Parlimen yang sebelum ini mustahil untuk PAS tembusi pada PRU16?

PAS yang kini menerima sokongan padu daripada pengundi Melayu di luar kebiasaan profil pengundi PAS, dijangka tidak menghadapi masalah untuk menjadi parti paling kuat pada pilihan raya akan datang.

Politik identiti dan etno-nasionalis­me dimainkan PAS menjadikan parti itu dilihat sebagai alternatif paling baik bagi orang Melayu, termasuk anak muda. Gelombang ini akan reda jika Kerajaan Perpaduan berjaya membawa Malaysia melepasi kemelut ekonomi, sekali gus menukar ke arah nada sedikit konservati­f. Kumpulan media perlu lebih tangkas dan menjadi penyedia kandungan kreatif bagi membawa rakyat memahami aspirasi kerajaan.

 ?? ??
 ?? Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabang­sa, Universiti Sultan Zainal Abidin ??
Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabang­sa, Universiti Sultan Zainal Abidin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia