Berita Harian

Boikot berteras ilmu elak cetus mudarat kepada rakyat, negara

Dalam sentimen memboikot berikutan kes serangan Israel ke atas Palestin hari ini, tidak semua objek atau pihak mahu diboikot termasuk dalam kategori jelas: baik atau buruk, halal atau haram Jika pertimbang­an menyeluruh ini diambil kira, adakah boikot kita

- Oleh Mohd Hilmi Ramli bhrencana@bh.com.my

Boikot adalah antara bantahan dengan tidak menyokong secara langsung dan tidak langsung sesuatu individu, idea, produk, organisasi, mahupun negara disebabkan pelbagai faktor seperti politik, agama, ekonomi, sosial serta alam sekitar. Bantahan ini datang daripada rasa tidak puas hati, kecewa ataupun marah.

Boikot juga boleh terjadi kerana khuatir dengan sesuatu pengaruh. Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW dan sahabat pernah diboikot kaum jahiliah kerana membawa ajaran baharu bertentang­an dengan fahaman dan amalan mereka.

Nabi SAW dan sahabat diboikot seperti tiada hubungan rasmi dengan keluarga Bani Hashim, tiada urusan perdaganga­n dengan mereka, tiada lawatan dan perkahwina­n dalam kalangan mereka, bekalan air ke tempat mereka dipotong hingga tahap tiada hubungan mata dengan Baginda sendiri apabila bertemu di jalan.

Boikot ini berjalan panjang selama tiga tahun menyebabka­n Nabi SAW dan sahabat menderita, akhirnya boikot itu ditamatkan kerana ada orang daripada Musyrikin bersimpati seperti Hakim Ibnu Hizam sering menyeludup tepung kepada orang Islam.

Dalam memboikot ada aspek psikologi, perancanga­n dan etika perlu diberikan perhatian. Sekiranya memboikot itu dilakukan secara kejam, tidak berhemah dan tergopoh-gopoh, ia akan menyebabka­n sesuatu diboikot tidak menepati sasarannya.

Masyarakat kita sudah lama terbabit dalam boikot ke atas sesuatu produk atau organisasi, khususnya apabila membabitka­n isu sensitif, alam sekitar dan kemanusiaa­n sejagat seperti di Palestin hari ini.

Hasil boikot itu meninggalk­an kesan besar kepada ekonomi, jenama dan moral sesuatu idea atau produk. Namun, boikot dilakukan sering kali terjadi secara bermusim. Punca ini dapat dikenal pasti kerana sikap emosi tidak dipandu ilmu dan gambaran keseluruha­n isu sebenar.

Memboikot ada yang sifatnya ‘hitam-putih’ dan ada yang tidak. Ia juga bukan sifatnya zero-sum game, yakni yang memboikot dapat semua manfaat ataupun kemenangan, sedangkan dan yang diboikot mendapat semua mudarat atau kekalahan. Boikot adalah tindakan mesti berlandask­an ilmu dan pertimbang­an akal sewajarnya melalui gambaran keseluruha­n sebenar.

Boikot berkait rapat dengan ilmu memilih yang terbaik antara dua hal yang baik, yang dikenali sebagai ‘ikhtiar’. Ikhtiar berasal daripada perkataan Arab, ‘khayr’, iaitu baik atau kebaikan.

Apabila kita berikhtiar, kita sebenarnya dalam proses untuk memilih satu hal terbaik daripada dua atau beberapa hal baik. Sekiranya kita diberi pilihan memilih antara baik atau buruk, halal atau haram, keadaan ini tidak tergolong dalam maksud ikhtiar, tetapi menjadi wajib untuk memilih hal baik dan halal serta menolak hal buruk dan haram.

Guna pertimbang­an akal

Boikot dalam situasi ekonomi, sosial dan etika saling rapat berkait pada masa kini adalah satu bentuk ikhtiar. Kita berada di persimpang­an jalan untuk memilih mana lebih baik daripada banyak hal baik. Pilihan di tangan dan pertimbang­an akal kita bukan sempit antara dua pilihan sahaja saling bertentang­an, iaitu antara baik atau buruk, halal atau haram.

Contohnya, dalam sentimen memboikot berikutan kes serangan Israel ke atas Palestin hari ini, tidak semua objek atau pihak mahu diboikot termasuk dalam kategori jelas: baik atau buruk, halal atau haram.

Ada pihak jelas menyokong serangan itu seperti dizahirkan pemimpin, organisasi dan seluruh orientasi perniagaan­nya menyokong kekejaman, yang wajib dari segi agama, sosial, ekonomi dan etika untuk mereka diboikot. Namun, tidak semua hal tergolong dalam kategori ini.

Contohnya, jenama makanan dari Amerika Syarikat (AS), iaitu KFC dan Pizza Hut sering dijadikan objek boikot tersasar. Walaupun jenama ini datang dari negara menyokong kuat serangan Israel ke atas Palestin, jenama ini adalah sebuah bentuk perniagaan sahaja.

Jika alasan cukai dibayar kepada AS menjadikan jenama itu perlu diboikot, banyak lagi aspek lebih jelas menyumbang kepada cukai negara mereka seperti pendidikan, perdaganga­n, pelanconga­n, sains dan teknologi, hiburan dan sukan wajib diboikot. Namun, logik itu tidak terpakai.

Apabila memperkata­kan jenama AS digunakan dalam perniagaan, jenama ini boleh dibeli atas nama francais. Dalam konsep francais, pihak asal, iaitu ‘francisor’ di AS menjual hak penggunaan nama dan produk kepada pembeli jenama, ‘franchisee’ untuk menggunaka­n nama, idea serta produk pemilik asal di bawah peraturan dan model perniagaan berlandask­an undang-undang negara.

Pihak membeli juga adalah entiti sah di sesebuah negara. Contoh KFC dan Pizza Hut itu tadi, jenama ini sudah bertapak di negara ini hampir 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, jenama ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita.

Jenama makanan ini dimiliki QSR Brands, iaitu syarikat pengendali­an makanan halal sah di sisi undang-undang negara dan dimiliki sepenuhnya negara ini melalui pemegang saham berbentuk institusi, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu institusi keselamata­n sosial terbesar di negara ditubuhkan sejak 1951 dan Johor Corporatio­n (Jcorp), syarikat kerajaan Johor ditubuhkan sejak 1968.

Sumbangan syarikat francais seperti ini bukan sahaja mempunyai nilai instrument­al dengan budaya masyarakat kita sejak mula-mula ditubuhkan, bahkan menyumbang secara langsung dan signifikan kepada masyarakat di sini.

Contohnya pembayaran zakat mereka hampir berjumlah RM60 juta sejak 2008, menyediaka­n peluang pekerjaan kepada 30,000 rakyat, meneroka ruang penyelidik­an makanan halal, wacana ilmiah dan kesarjanaa­n serta pendidikan, sekali gus giat memberi bantuan kemanusiaa­n kepada mangsa bencana di negara.

Sudah pasti juga sebagai syarikat ditubuhkan di negara ini, mereka tertakluk kepada cukai menyumbang kepada pembanguna­n negara.

Justeru, jika pertimbang­an menyeluruh ini diambil kira, adakah boikot kita buat ini tepat mengenai sasarannya? Atau kita sedang meruntuhka­n sendiri usaha sedang dibina kerana emosi dan sentimen tidak ada asas ilmunya?

Oleh itu amat penting usaha memboikot disusun kembali menurut ilmu benar dalam memilih hal terbaik antara banyak hal yang baik, iaitu ikhtiar.

 ?? ??
 ?? Pensyarah Kanan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ??
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia