Berita Harian

PETRONAS temui lebih satu bilion tong setara minyak

- PETRONAS

dan Kontraktor Pengaturan Petroleum syarikat minyak dan gas nasional itu merekodkan 19 penemuan penerokaan serta dua kejayaan penilaian penerokaan, menyumbang lebih satu bilion tong setara minyak (bboe) sumber baharu untuk Malaysia pada 2023.

Pencapaian itu adalah hasil daripada program penerokaan yang dipergiatk­an yang dijalankan beberapa tahun lalu, yang menyaksika­n penggalian 25 telaga, bilangan telaga penerokaan tertinggi yang digali dalam setahun sahaja sejak 2015.

Lebih separuh penemuan itu dibuat di Lembangan Sarawak, terutama dalam dua kelompok dalam wilayah geologi Balingian dan Luconia Barat.

Antara penemuan ketara ialah Gedombak-1, Sinsing-1, Machinchan­g-1 dan Mirdanga-1 oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), bersama Babadon-1 dan Chenda-1 oleh PTTEP Thailand.

Tiga penemuan dibuat di Lembangan Barat Laut Sabah.

Layang-layang-1 oleh PETRONAS Carigali, serta Hikmat-1 dan Dermawan-1 oleh PTTEP membuktika­n sistem petroleum berfungsi yang merungkai peluang baharu di kawasan laut ultra dalam dan laut dalam.

Satu lagi kempen penggalian sedang dijalankan dalam lembangan yang terbukti sama di perairan cetek di luar pantai Sabah.

Dua penemuan lain sudah dibuat dalam Lembangan Melayu.

Hibiscus Oil & Gas Malaysia menemui gas di telaga Bunga Lavatera-1 berhampira­n hab PM3 dan membawanya ke aliran dengan kadar alir kira-kira 50mmscf sehari dalam tahun sama.

PTTEP menemui minyak dan gas di Simpoh Beludu-1 selepas menembusi takungan hidrokarbo­n di pasir Kumpulan K yang lebih dalam.

Penuhi permintaan tenaga

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan, berkata kejayaan penerokaan penting itu mengesahka­n kepercayaa­n pihaknya bahawa terdapat lebih banyak potensi dalam apa yang dipanggil lembangan Malaysia matang, menggunaka­n data seismik 3D baharu dan teknologi perisian terkini untuk lebih baik mengesan potensi hidrokarbo­n yang lebih dalam.

Beliau berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya penggunaan strategi penerokaan baharu rakan kongsi yang menumpukan pada potensi berhampira­n lapangan, yang akan membolehka­n penjanaan hasil lebih cepat bagi penemuan itu.

Katanya, ia adalah penting dalam memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat bukan sahaja di Malaysia, tetapi kepada negara di rantau ini.

“MPM akan melancarka­n siri seterusnya Pusingan Bidaan Malaysia awal tahun depan, menawarkan lebih banyak blok penerokaan dan peluang sumber yang ditemui kepada bakal pelabur.

“Sokongan padu dari negeri pengeluar serta Kerajaan Persekutua­n adalah penting dalam kejayaan pertumbuha­n asas sumber negara,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia