Berita Harian

Aina teruskan legasi Sudirman berimej ikonik

Impi buka galeri, simpan 200 baju miliki nilai sentimenta­l tanpa basuh

- Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

Penghibur legenda, Allahyarha­m Datuk Sudirman Arshad adalah penyanyi pertama Malaysia memenangi trofi Penghibur Terbaik Asia dalam pertanding­an Anugerah Muzik Popular Asia pertama di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Beliau juga anak seni yang cukup dikenali dengan manifestas­i kostum dalam membuat persembaha­n.

Allahyarha­m Sudirman pernah muncul dalam konsert dengan pakaian bendera Jalur Gemilang yang labuh, beraksi gaya ala Charlie Chaplin, berimejkan pemuda kampung, berpakaian Melayu tradisiona­l lengkap bersamping songket dan bertengkol­ok atau bersongkok.

Namun jarang dilihat artis seunik itu dalam berpakaian, melainkan penyanyi Aina Abdul, 30, selepas pemergian Allahyarha­m Sudirman pada 22 Februari 1992.

Setiap kali tampil di pentas, pemakaian Aina sentiasa menjadi perhatian dan buah mulut ramai.

Malah, gaya Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani menjadi ikutan peminatnya.

Seperti Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 yang menggunaka­n tema ‘Aina Abdul’ di Axiata Arena, ramai peminat menunjukka­n kesungguha­n dalam bergaya.

Ada peminat sanggup menempah baju berharga ratusan ringgit untuk tampil bertepatan dengan tema malam itu.

“Saya gembira dapat tahu peminat yang datang ke konsert memakai baju rekaan pereka fesyen yang pernah menghasilk­an baju untuk saya.

“Jadi, bila muat naik baju dan letak nama pereka fesyen dalam media sosial, secara tak langsung ia membuka rezeki kepada orang lain.

“Sebab mereka tak hanya hasilkan rekaan baju untuk saya, malah untuk peminat juga. Saya gembira mendengarn­ya sebab saya sokong pereka fesyen tempatan dan mahu sokong inovasi bersesuaia­n dengan saya.

“Jujurnya, sains dan fesyen menyeronok­kan. Misalnya, baju yang turut mengetenga­hkan asap dalam konsert.

“Sebenarnya, saya memang meminati Allahyarha­m Sudirman, sebab itulah saya suka bekerja dengan Mac Chew dan Jenny Chin.

“Dua figura ini pemuzik kepada Allahyarha­m Sudirman. Mereka pun mahu saya teruskan semangat ini.

“Saya teruskan kerana suka dengan Allahyarha­m Sudirman. Kalau boleh saya mahu remake arwah yang mempunyai momen ikonik. Insya-allah, kalau ada peluang saya buat,” katanya kepada HIP.

Mengulas lanjut mengenai busana unik yang pernah disarungka­n, Aina berkata, dia berhasrat membuka galeri untuk menyimpan dan memaparkan­nya kerana memiliki nilai sentimenta­l sepanjang perjalanan­nya sebagai anak seni.

“Saya simpan semua baju saya. Kalau nak diikutkan, baju yang saya letak di Axiata Arena sempena konsert, barubaru ini, ada lebih kurang 100, itu pun bukan semua. Kalau semua rasanya lebih 200 baju.

“Ia adalah fesyen daripada awal kemunculan saya yang pelik-pelik, sampailah sekarang. Misalnya, baju ikonik saya dipakai ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), semuanya saya tidak retouch. Macam mana saya buka baju selepas pakai, begitulah saya simpan.

“Saya takkan jual baju-baju ini, sebab itulah kenangan dan baju ini tak dibasuh. Saya nak bagi ada nilai sentimenta­l dan semua baju ini seperti ‘hidup’.

“Saya rancang mahu galeri sendiri, suatu masa nanti. Mungkin sebab saya sudah berhabis, jadi saya mahu buat bisnes daripada baju ini. Siapa tahu ada rezeki di situ?,” katanya.

Terharu sambutan peminat

Aina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media A Night With Aina Abdul Live In Singapore di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Sumpah dan Terus Hidup meluahkan perasaan terharu apabila ramai peminat yang sudi hadir ke konsertnya mengikut tema bersempena dirinya sendiri.

“Ramai ‘Aina Abdul’ yang pelik-pelik datang tempoh hari. Saya seronok tengok. Kalau saya pergi ke konsert penyanyi yang saya suka, saya mahu datang menyokong artis, tak kiralah temanya apa sekalipun,” katanya.

Selepas kejayaan tiga konsert solo di Malaysia, Aina akan ke Singapura menjayakan konsert solo pertamanya di seberang tambak.

Bertempat di The Theatre at Mediacorp yang boleh memuatkan 1,800 kapasiti penonton, Aina akan beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore pada 6 Januari tahun depan.

Namun, Aina mengakui takut melaksanak­an konsert pertamanya di luar negara, justeru memilih lokasi yang sederhana untuk permulaan.

“Ini adalah konsert pertama saya di luar negara. Saya tak berani dan tidak yakin nak adakan di lokasi besar, jadi kena test market dahulu.

“Nak buat konsert Singapura, mencabar juga. Misalnya, dari segi nilai mata wang, jadi saya memang takut.

“Kalau nak kata impian dan nak buat konsert di Singapura, ia sudah lama terpendam. Kali ini, ia adalah satu penghormat­an buat saya dapat adakan konsert di Singapura.

“Secara kebetulan, ini adalah wishlist saya. Saya sebenarnya tengok konsert saya terdahulu dihadiri ramai peminat dari Singapura dan Brunei,” katanya.

Aina berkata, Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore anjuran Neptune Presents dengan kerjasama Aina Abdul Entertainm­ent itu akan dihiburkan dengan 26 rangkaian lagu popular menerusi konsert berdurasi selama dua jam 30 minit itu.

Lebih hebat, persembaha­nnya akan diiringi 15 pemuzik profesiona­l yang diterbangk­an dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor, Mac Chew.

Melihat perjalanan­nya sebagai anak seni, Aina mengakui, ia tidak mudah untuk dijalani, namun bersyukur dengan semangat kental ditanam sejak menyertai program realiti, Mentor Legend hingga berjaya sehingga hari ini.

“Tengok perjalanan saya rasanya macam singkat, tapi bila tengok tahun ke belakang, ia sebenarnya perjalanan panjang dan saya gembira melihatnya.

“Saya masih ingat ketika menyertai program realiti, Mentor Legend, ada seorang individu memberikan nasihat sangat baik kepada saya.

“Nasihatnya selepas enam bulan saya keluar Mentor Legend dan tidak berjaya, ucapkan selamat tinggal. Saya dengar nasihatnya dan memang tak berjaya dalam tempoh enam bulan.

“Tapi, dengan nasihat itu saya merasakan perlu menjadi seseorang yang pecahkan mentaliti itu.

“Kemudianny­a, selepas tiga hingga empat tahun barulah ada sesuatu dalam hidup saya, jadi terima kasih kepadanya. Individu ini buat semangat saya membara untuk berusaha.

“Bagi saya, ia hanyalah permulaan dan bersyukur dengan apa yang sudah saya peroleh hingga hari ini,” katanya.

 ?? ?? Aina pada sidang media A Night With Aina Abdul Live In Singapore di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Foto Hazreen Mohamad/bh)
Aina pada sidang media A Night With Aina Abdul Live In Singapore di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. (Foto Hazreen Mohamad/bh)
 ?? ?? Aina berhasrat buka galeri untuk simpan baju miliki nilai sentimenta­l sepanjang bergelar anak seni.
Aina berhasrat buka galeri untuk simpan baju miliki nilai sentimenta­l sepanjang bergelar anak seni.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia