Berita Harian

Chile sasaran Young Tigers

Anak buah Amin cari tonik pada aksi pembukaan Selasa ini

- Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki negara tampil dengan misi wajib menang apabila bertemu Chile pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Ketua jurulatih negara, Muhammad Amin Rahim, berkata kemenangan pada aksi sulung itu sangat penting bagi menyuntik semangat pasukan sebelum bertemu pasukan gergasi iaitu Argentina dan Australia untuk aksi kedua serta ketiga kumpulan.

Bagaimanap­un, pada masa sama Amin mengingatk­an anak buahnya untuk berwaspada dengan ancaman Chile, meskipun pasukan itu menyenarai­kan pemain muda bagi menghadapi kejohanan kali ini.

“Untuk saya, bagus untuk mereka (Chile) datang dengan pasukan muda, tetapi kita tidak boleh sesekali pandang rendah kerana apabila sudah memasuki peringkat kumpulan (Piala Dunia Remaja), tentu mereka juga bagus seperti pasukan lain.

“Namun, saya tidak mahu melihat terlalu terperinci mengenai faktor ini sebaliknya saya lebih berminat untuk melihat pasukan saya beraksi dengan baik dalam perlawanan pertama.

“Untuk saya, apa yang paling penting adalah perlawanan pertama menentang Chile untuk kita dapatkan tiga mata bagi meningkatk­an motivasi sebelum kita bermain menentang Argentina dan aksi terakhir bertemu Australia,” kata Amin.

Prestasi meningkat

Selepas bertemu Chile, skuad Young Tigers akan bertemu Argentina pada Rabu sebelum menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia 8 Disember.

Mengulas lanjut, Amin memberitah­u pemain kini berada pada tahap terbaik dan mereka sedar apa yang perlu dilakukan dari segi mental, fizikal serta emosi untuk bermain di kejohanan tertinggi itu.

“Dari segi prestasi saya rasa ada banyak peningkata­n yang ditunjukka­n dan harap mereka kekalkan prestasi itu. Setiap kesilapan yang kita lakukan ketika kejohanan Piala Sultan Johor, kita sudah betulkan dan bersedia sehabis baik sewaktu menentang Chile nanti,” katanya.

 ?? (Foto ihsan FB MHC) ?? Pemain hoki remaja negara yang akan menggalas tugas pada Piala Dunia Remaja bermula Selasa ini.
(Foto ihsan FB MHC) Pemain hoki remaja negara yang akan menggalas tugas pada Piala Dunia Remaja bermula Selasa ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia