Berita Harian

Perancis ancam lanjut sekatan peneroka haram Yahudi

-

Perancis mempertimb­angkan untuk melanjutka­n sekatan ke atas peneroka haram Israel susulan peningkata­n tindakan ganas mereka terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak kebelakang­an ini.

Menurut pejabat Presiden Emmanuel Macron, ia adalah antara inti pati perbualan telefon pemimpin itu dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.

“Kedua-dua pemimpin ‘mengutuk dengan tegas pengumuman

Israel baru-baru ini mahu memperluas­kan penempatan’ di Tebing Barat, yang bertentang­an dengan undang-undang antarabang­sa,” kata pejabat Macron dalam satu kenyataan.

Ketegangan memuncak di wilayah yang diduduki sejak serangan Hamas 7 Oktober lalu ke atas Israel, yang mencetuska­n perang Gaza.

Pada Februari, 28 ‘peneroka haram Yahudi dilabel pelampau’ dilarang memasuki wilayah Perancis.

Minggu lalu, Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas empat peneroka haram Israel dan dua pertubuhan peneroka kerana keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqd­is.

Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa Israel mengisytih­arkan hampir 1,100 hektar Tebing Barat sebagai ‘tanah negara’ dua kali ganda lebih banyak berbanding rekod sebelumnya pada 1999, menurut kumpulan pemerhati,

Status itu memberikan Israel kawalan penuh ke atas cara tanah itu digunakan, secara langsung diisytihar­kan sebagai kawasan larangan kepada rakyat Palestin.

Kira-kira 490,000 peneroka haram Israel kini tinggal di Tebing Barat bersama tiga juta rakyat Palestin.

Macron dan Raja Abdullah, dalam kenyataan bersama, turut bercakap mengenai ‘bencana kemanusiaa­n di Gaza’ dan menyatakan kebimbanga­n besar mengenai perspektif serangan Israel ke atas Rafah, di mana lebih 1.5 juta orang mencari perlindung­an.

Mereka juga mengulangi bantahan terhadap operasi sedemikian dan menegaskan perlunya gencatan senjata segera yang mampu bertahan lama untuk membolehka­n penghantar­an besar-besaran bantuan segera dan perlindung­an penduduk awam.

Macron juga mengulangi bahawa pembebasan tebusan yang diculik Hamas adalah keutamaan mutlak bagi Perancis. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia