Berita Harian

Saingan 4 penjuru setelah satu calon Bebas tarik diri

Calon PH bakal berdepan wakil PN, PRM serta Bebas pertahan kerusi DUN

- Oleh Rohaniza Idris, Muhammad Yusri Muzamir, Mahani Ishak, Essa Abu Yamin dan Amirul Aiman Hamsuddin bhnews@bh.com.my

Hulu Selangor: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang bermula semalam, menyaksika­n pertembung­an empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaru­hkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

Nama calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Yuhanas Auree Kamaruddin sebaik tempoh proses penamaan calon yang berlangsun­g Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini ditutup jam 10 pagi.

“Saya telah menyemak kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaanny­a,” katanya.

Tarik diri saat akhir

Yuhanas bagaimanap­un memaklumka­n seorang calon Bebas, Chng Boon Lai menghantar borang, namun menarik semula permohonan pada saat akhir.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan berikutan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Kuala Kubu Bharu adalah yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Terdahulu, pusat penamaan calon dibuka mulai 9 pagi dan proses mengemukak­an borang pencalonan berlangsun­g selama satu jam.

Khairul Azhari, 54, merupakan calon pertama menyerahka­n borang pencalonan­nya pada 9.04 pagi, diikuti Sock Tao, 31, (jam 9.07 pagi), Ke Xin, 29, (jam 9.22 pagi) dan Hafizah, 50, (jam 9.55 pagi).

Terdahulu, Sock Tao yang mengenakan kemeja putih dan berseluar hitam tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi diiringi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkut­an, Anthony Loke; Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Khairul Azhari pula diiringi beberapa pimpinan parti termasuk Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Hafizah yang juga Timbalan Ketua Biro Penerangan PRM dan Ke Xin yang juga pengurus syarikat logistik di Shah Alam, diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.

Proses penamaan calon menurut SPR berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sementara itu, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarka­n bilik gerakan bagi membolehka­n orang ramai menyalurka­n maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRK berkenaan.

Bilik gerakan yang beroperasi 24 jam mulai semalam hingga 11 Mei itu akan ditempatka­n di SPRM Selangor di Shah Alam.

 ?? ??
 ?? (Foto BERNAMA) ?? Penyokong Perikatan Nasional tetap bersemanga­t memberi sokongan kepada calon mereka untuk bertanding PRK Kuala Kubu Bharu, semalam.
(Foto BERNAMA) Penyokong Perikatan Nasional tetap bersemanga­t memberi sokongan kepada calon mereka untuk bertanding PRK Kuala Kubu Bharu, semalam.
 ?? (Foto Eizairi Shamsudin/bh) ?? Penyokong dan pemimpin PH berarak ke tempat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu, semalam.
(Foto Eizairi Shamsudin/bh) Penyokong dan pemimpin PH berarak ke tempat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia