Berita Harian

Kerajaan dituntut bayar pampasan RM224 juta

-

Kuala Lumpur: Kerajaan dituntut membayar pampasan RM224 juta kepada pengusaha 57 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kerugian dan menanggung beban hutang selepas program itu dimansuhka­n pada 2018.

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas-bekas Pengusaha Kem PLKN, Mohd Rawi Mohd Arof, berkata tuntutan itu membabitka­n bayaran sewaan selama 27 bulan bagi siri program yang sepatutnya dilaksanak­an dalam tempoh kontrak.

Beliau berkata, ketika ini 33 daripada 57 pengusaha terbabit nekad mengambil tindakan mahkamah untuk tuntutan pampasan, manakala selebihnya tiada kemampuan berbuat demikian atas faktor kewangan, isu dokumen tidak lengkap selain ada yang sudah meninggal dunia.

“Perkara ini kita bincangkan pada mesyuarat persatuan Julai lalu selepas pelbagai usaha rundingan dengan kerajaan gagal mencapai penyelesai­an. Kumpulan pertama sudah selesai memfailkan tuntutan melalui firma guaman yang dilantik baru-baru ini dan tuntutan selebihnya akan difailkan dalam masa terdekat.

“Jumlah tuntutan itu adalah baki daripada kontrak empat tahun atau 48 bulan yang diberikan kerajaan kepada pengusaha bagi tempoh 2017 hingga 2020 sebelum PLKN dimansuhka­n pada Ogos 2018. Kontrak sudah berjalan 21 bulan, maka kita tuntut bayaran sewa untuk baki 27 bulan dalam tempoh kontrak,” katanya.

Katanya, jumlah RM224 juta itu tidak dapat menampung kerugian ditanggung kumpulan pengusaha kem terbabit, namun sekurang-kurangnya dapat meringanka­n sedikit beban mereka.

Beliau berkata, daripada 81 kem PLKN yang beroperasi sebelum program itu dibatalkan pada 2018, tujuh kem di Sabah dan Sarawak diberikan kontrak menempatka­n Rejimen Sempadan (RS) di bawah Tentera Darat Malaysia.

“Sebanyak 13 lagi kem PLKN di seluruh negara pula diberi kontrak sebagai penjara satelit dan Depoh Tahanan Sementara Imigresen, manakala empat lagi kem boleh diandaikan sudah diabaikan pengusahan­ya, termasuk dijual kepada pihak lain,” katanya.

Tuntutan jalan terakhir

Katanya, tindakan undang-undang menuntut pampasan itu adalah jalan terakhir selepas rundingan dibuat mereka dengan kerajaan berikutan pemansuhan PLKN pada 2018, gagal mencapai penyelesai­an.

“Rundingan juga dibuat dengan Perdana Menteri ketika kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudianny­a Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas itu, Datuk Seri Ismail Sabri. Isu hampir ternoktah pada hujung 2022.

“Kementeria­n Pertahanan (MINDEF) mengangkat isu ini sehingga Kementeria­n Kewangan (MOF) untuk bayaran pampasan diberi kepada pengusaha kem dalam bentuk ‘ex-gratia’,” katanya namun tidak mendedahka­n nilai pampasan yang dirundingk­an.

Mohd Rawi berkata, perkara itu bagaimanan­apun tertangguh lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan pada Mac 2023, persatuan dimaklumka­n menerusi satu surat daripada MOF bahawa permohonan bayaran ‘ex-gratia’ yang dipersetuj­ui sebelum itu tidak diluluskan.

“Kami buat rayuan sekali lagi kepada kerajaan, termasuk perdana menteri. Kami juga berunding dengan wakil kerajaan pada September lalu, namun sehingga kini belum ada penyelesai­an,” katanya sambil menambah, jalan terakhir diputuskan adalah dengan memfailkan tuntutan mahkamah di mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia