Berita Harian

Ulang-alik Ipoh, KL 23 tahun demi tugas

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) bangun seawal jam 3 pagi tempuh perjalanan 202KM

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah farahmarsh­ita@bh.com.my

Berbekalka­n bantal leher, jaket dan beg berisi buku, perjalanan sejauh lebih 202 kilometer (KM) dari Ipoh ke Kuala Lumpur ditempuh sepanjang 23 tahun.

Tiada istilah penat, jauh mahupun malu wujud dalam kamus hidup Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Datuk Amran Mohd Majid, yang perlu menaiki bas ekspres setiap hari untuk sampai ke pejabatnya di Jalan Sultan

Salahuddin, di sini.

Malah, ketika ramai penduduk Taman Muhibbah Ipoh, masih lena dibuai mimpi, beliau bangun seawal jam 3 pagi untuk bersiap dan menuju ke Terminal Amanjaya, Meru Raya.

Menjadi rutin kelazimann­ya untuk berwuduk lebih awal bagi membolehka­n beliau mengerjaka­n solat subuh di dalam bas, memandangk­an perjalanan yang bakal ditempuhi, memakan masa lebih dua jam.

Kekerapann­ya berulang alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur sejak 2001, menyebabka­n beliau diberi gelaran ‘KP’ (Ketua Penumpang) oleh penumpang bas ekspres lain.

Katanya, beliau berulang-alik sejak 23 tahun lalu kerana isterinya mengajar di Ipoh dan kedua-dua anak perempuann­ya masih bersekolah.

Korban masa, wang

Biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit setiap hari, beliau bersyukur masih diberikan peluang untuk berkhidmat dan pada masa sama tidak perlu berjauhan dengan keluarga.

“Pada awalnya, saya perlu menyesuaik­an diri dengan rutin ini. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

“Lama-lama dah biasa dan ramai kawan-kawan, jadi kita kumpul jadi geng bas, itu yang membuatkan perjalanan menjadi lebih seronok.susah senang, kami sama-sama,” katanya kepada BH.

Katanya, sepanjang perjalanan, beliau akan menghabisk­an masa dengan membaca kajian kes undang-undang atau menyiapkan buku yang ditulisnya.

“Sepanjang 23 tahun berulang alik, banyak yang saya berjaya siapkan di dalam bas, antaranya mengulang kaji bagi pengajian sarjana dan menyiapkan tiga buku.

“Selain itu, masa yang ada sepanjang perjalanan, saya manfaatkan sepenuhnya dengan membaca Al-quran, meneliti kajian kes undang-undang atau membaca laporan berkaitan kerja,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menaiki bas setiap hari, menjadikan beliau

seorang yang berpijak di bumi nyata dan sentiasa merendah diri.

“Sebab kawan-kawan kita ada- lah pemandu bas, penjual tiket di kaunter dan kakitangan daripada pelbagai organisasi, malah kami semua sangat rapat.

“Kita anggap mereka seperti keluarga. Itu yang kami seronok naik bas Plusliner. Macam-macam Plusliner tolong kita, sampai kami ada kumpulan Whatsapp yang membolehka­n kami berkomunik­asi dengan pemandu dan rakan-rakan lain,” katanya.

Tambahnya, walaupun tiba di rumah kira-kira jam 8.30 malam,

beliau gembira kerana masih dapat meluangkan masa dan berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanap­un, aturan kehidupan menetapkan bahawa setiap yang bermula pasti akan berakhir, di mana beliau bersara wajib, semalam.

Menghargai KP mereka, Plusliner mengadakan sambutan kecil-kecilan bagi meraikan persaraan beliau.

Sebuah bas Plusliner dihantar untuk menjemput beliau bersama penumpang lain di di Jalan Sultan Salahuddin, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Ipoh.

 ?? (Foto Asyraf Hamzah/bh) ?? Amran (kiri) menaiki bas buat kali terakhir untuk pulang ke Ipoh selepas bersara wajib, semalam.
(Foto Asyraf Hamzah/bh) Amran (kiri) menaiki bas buat kali terakhir untuk pulang ke Ipoh selepas bersara wajib, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia