Berita Harian

Penggalian kubur besar tamat setelah 392 mayat ditemui

Keadaan jasad bukti mangsa diseksa sebelum ditanam sekitar Hospital Nasser

-

Semenanjun­g Gaza: Pihak berkuasa Palestin menamatkan pencarian berikutan penemuan 392 mayat, termasuk beberapa yang masih dengan pakaian pembedahan di sebuah kubur besar berhampira­n sebuah hospital terletak di Selatan Gaza.

Seorang pegawai daripada Pertahanan Awam Palestin di

Gaza, Mohammed Al Mighayyer, berkata pekerja mengenal pasti 165 mayat di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis selepas pengundura­n tentera Israel dari kawasan itu awal bulan ini.

Katanya, baki 227 mayat masih diperiksa untuk menentukan identiti mereka.

“Kami menemukan tiga kubur besar, pertama di hadapan bilik mayat, kedua di belakang bilik mayat dan ketiga di utara bangunan rawatan dialisis,” katanya.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, dakwaan itu adalah palsu dan kubur di Kompleks Nasser sudah digali penduduk Palestin di Gaza beberapa bulan lalu.

Pertahanan Awam Gaza mengakui sekitar 100 mayat dikebumika­n dalam kubur di hospital Nasser sebelum operasi IDF di sana.

Al Mighayyer berkata, pihaknya mendapati terdapat mayat kanak-kanak di kubur besar di Kompleks Perubatan Nasser yang membuktika­n jenayah pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.

Ditimbus hidup-hidup

Katanya, mereka mengesyaki sekurang-kurangnya 20 orang awam ditimbus hidup-hidup di kompleks terbabit.

Al Mighayyer juga mendakwa, terdapat pelaksanaa­n hukuman mati terhadap pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Beberapa mayat ditemukan dengan kesan tembakan di kepala dan kecederaan pada bahagian badan,” katanya.

Bagaimanap­un, dakwaan dan punca kematian belum dapat disahkan dan tidak diketahui siapa yang bertanggun­gjawab atas kematian mereka.

Ditanya mengenai kubur besar di Hospital Nasser pada taklimat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata organisasi itu sudah meminta penyiasata­n antarabang­sa dilakukan.

“Bagaimanap­un, siasatan dari mana sahaja perlu mendapat akses ke Gaza yang memerlukan kebenaran beberapa negara termasuk Israel,” katanya.

Amnesty Internatio­nal turut menggesa siasatan kubur besar di Hospital Nasser dan hospital lain di Gaza serta Kompleks Perubatan Al-shifa, dengan mengatakan terdapat ‘keperluan mendesak untuk memberikan akses kepada penyiasat hak asasi manusia yang bebas’.

“Tapak kubur besar adalah tempat kejadian jenayah yang berpotensi menawarkan bukti forensik penting dan sensitif kepada masa.

“Mereka perlu dilindungi sehingga pakar forensik profesiona­l yang mempunyai kemahiran dan sumber boleh menjalanka­n penggalian mencukupi dan pengecaman tepat ke atas mayat mangsa,” katanya.

Israel membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober yang meragut lebih 1,200 nyawa. AGENSI

 ?? (Foto AFP) ?? Penduduk cuba mencari jenazah ahli keluarga selepas kubur besar di Hospital Nasser digali, baru-baru ini.
(Foto AFP) Penduduk cuba mencari jenazah ahli keluarga selepas kubur besar di Hospital Nasser digali, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia