Berita Harian

Kampung Seri Banian penuh dengan adat

Awalnya disifatkan kawasan jin bertendang, kini jadi ‘port’ individu rasai kehidupan perkampung­an Melayu pada zaman silam

- Oleh Noorazura Abdul Rahman bhnews@bh.com.my

Unik dan seindah namanya, Kampung Adat Melayu Seri Banian, kini tidak asing lagi bagi mereka yang mahu merasai pengalaman perkampung­an Melayu pada zaman silam.

Terletak kira-kira lima kilometer (km) dari pekan Kubur Panjang, Pendang, Kedah, pengunjung melangkah masuk membuatkan mata pasti terpukau dengan keindahan seni bina rumah Melayu yang berasaskan kayu, berlantai, berdinding­kan buluh serta beratap rumbia dan daun serdang.

Menceritak­an idea mewujudkan perkampung­an itu, Dil Akhbar Jaafar, 44, berkata pada mulanya dia hanya membina sebuah ‘balairung’ sebagai tempat untuk pesilat berkumpul dan melakukan latihan.

Beliau yang juga guru silat, selepas tempat itu menjadi tular pada 2019, perkampung­an terletak di hujung Kampung Bendang Bukit tidak henti menerima kunjungan orang ramai.

“Dari situ beri saya idea untuk membina beberapa rumah Melayu tradisiona­l, selain membuka perniagaan makanan tradisiona­l.

“Awalnya, ramai mempersoal­kan usaha saya. Ada kata ia tempat jin bertendang kerana kawasannya kebun getah, namun dengan dorongan bapa angkat saya. Kemudian saya buka kampung ini di tanah seluas satu hektar,”katanya.

Dil Akbar atau lebih dikenali sebagai Akhi Rijalluddi­n berkata, dengan pengalaman luas mengajar silat di beberapa negara seperti Indonesia, Filipina, Brunei, Thailand dan Singapura, dia mengadapta­si seni binaan rumah berkenaan dengan seni bina rumah pedalaman dari negara terbabit.

Rumah itu dibina adik angkatnya dikenali sebagai Syahmi selepas mempelajar­i seni membina rumah Melayu lama daripada seorang bekas tukang rumah yang buta di Perak.

“Ketika belajar seni bina ini, lelaki terbabit hanya mengajar Syahmi menggunaka­n daun rokok. Syahmi dapat memahaminy­a dengan baik dan akhirnya terbina lima rumah Melayu lama di sini, selain kami juga membina tujuh pondok untuk kemudahan pengunjung.

“Kami juga bina sebuah kolam supaya kawasan menghijau untuk pengunjung rasa lebih tenang berada di sini,” katanya.

Ada kata ia kampung bunian

Idea menamakan kawasan itu sebagai Kampung Adat Melayu Seri Banian timbul apabila hampir 90 peratus di Kampung Bendang Bukit, fasih berbahasa Siam.

“Ban dalam bahasa Siam bermaksud kampung manakala nian bermakna hijau.

“Jadi saya gabungan ia jadi Banian yang membawa maksud keseluruha­n berserilah kampung yang hijau. Sebelum ini ada kata nama kampung ini seperti kampung bunian, tapi ia hanya anggapan sematamata, saya letak nama kampung ini sebagai doa untuk kampung ini lebih cantik dan indah,” katanya. Akhi berkata, bagi menggamit lebih ramai pengunjung, pihaknya turut menyediaka­n seni persembaha­n silat, tarian, aktiviti bermain alat muzik lama, menunggang kuda, memanah serta sukan rakyat.

Katanya, pengunjung akan merasai pengalaman menjadi golongan bangsawan kerana pekerja di sini dilatih seperti melayan keluarga diraja. “Saya ada 15 pekerja, mereka pesilat dan mempujiwa nyai mengetenga­hkan aktiviti kehidupan orang Melayu zaman dahulu, mereka berpakaian seperti hulubalang dan dayang-dayang istana.

“Hari minggu selalunya ramai pengunjung, jadi kami akan adakan persembaha­n solar, selain menjemput ahli kumpulan muzik tradisiona­l membuat persembaha­n di sini. Ada juga pengantin mahu merasai menaiki pengalaman menaiki tandu sambil diiringi paluan muzik tradisiona­l berarak masuk ke kampung ini.

“Alhamdulil­lah ramai pengunjung datang dari dalam dan luar negara termasuk pelajar universiti antarabang­sa yang mahu belajar adat Melayu di sini,” katanya.

Sediakan sajian zaman silam

Dengan keunikan itu, Akhi berani menampilka­n sajian di zaman silam yang diwarisi turun temurun dari keluargany­a.

Sebanyak 121 menu masakan disediakan untuk pengunjung dan ada antara menu dipelajari dari kawasan pedalaman Nusantara.

“Hidangan yang sering dipesan pelanggan ialah ayam sembah diraja. Masak ayam ini agak rumit kerana ia perlu diperap dengan 15 bahan rempah ratus, perlu dikukus, digoreng dan dibakar.

“Kami ada nasi seri tanjung yang dimasak dengan adunan rempah ratus dan perlu digoreng, dikukus dan dibakar, selain sate bersaiz besar yang menjadi makanan paling banyak dipesan pelanggan,” katanya.

Kini beliau dalam proses membina lebih banyak rumah seni bina Melayu di perkampung­an itu.

Apa yang dimiliki kini hanyalah kira-kira 20 peratus daripada perancanga­n asalnya, namun akibat kekangan modal ia dibina secara berperingk­at.

“Saya sudah belanja kira-kira RM700,000 untuk kos bersihkan kawasan sehingga bina rumah di perkampung­an ini, walaupun semua ini makan masa lama, namun bersyukur kerana dapat ‘membawa’ masyarakat kembali kehidupan masyarakat Melayu tradisiona­l yang penuh dengan adat, budaya, serta seni bina unik,” katanya.

 ?? ?? Suasana perkampung­an Adat Seri Banian pada waktu malam, pengunjung akan menikmati hidangan di pondok ini yang dipenuhi cahaya lampu. (Foto ihsan Akhi Rijalluddi­n)
Suasana perkampung­an Adat Seri Banian pada waktu malam, pengunjung akan menikmati hidangan di pondok ini yang dipenuhi cahaya lampu. (Foto ihsan Akhi Rijalluddi­n)
 ?? ?? Upacara pengantin berarak menggunaka­n tandu, orang ramai boleh menyewa tempat ini untuk melangsung­kan perkahwina­n dengan penuh adat.
Upacara pengantin berarak menggunaka­n tandu, orang ramai boleh menyewa tempat ini untuk melangsung­kan perkahwina­n dengan penuh adat.
 ?? ?? Penari dari Johor yang dijemput untuk mengadakan persembaha­n tarian kuda kepang di Kampung Adat Seri Banian.
Penari dari Johor yang dijemput untuk mengadakan persembaha­n tarian kuda kepang di Kampung Adat Seri Banian.
 ?? ?? Hidangan Ibu Jamaliah yang terdiri dari gulai giling, puyuh bakar rubiah, kerabu taugeh dan lain-lain.
Hidangan Ibu Jamaliah yang terdiri dari gulai giling, puyuh bakar rubiah, kerabu taugeh dan lain-lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia