Berita Harian

Bait pantun klasik sukar difahami anak muda

Perubahan persekitar­an menjarakka­n kefahaman generasi hari ini dengan karya klasik

- Oleh Haliza Mohamad bhsastera@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pantun sudah lama diketahui sebagai identiti orang Melayu yang berbudaya. Malah pantun bukan saja ruang mendidik dan menasihat tetapi juga digunakan untuk menyindir malah juga sebagai hiburan.

Keunikan pantun yang dianggap sebagai warisan budaya Melayu di Nusantara menyaksika­n ia berjaya dimasukkan dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaa­n, secara pencalonan multinasio­nal pada tahun 2020.

Bagaimanap­un adakah pantun akan kekal relevan untuk generasi anak muda, apatah lagi apabila sebahagian daripada frasa yang digunakan dalam membina pantun tidak lagi difahami mereka.

Hal ini langsung membawa kepada persoalan baharu, mungkinkah pantun klasik akan pupus dan diganti dengan karya baharu yang lebih dekat dengan generasi semasa?

Isu ini sangat menarik perhatian seperti dibangkitk­an oleh Ketua Satu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron dalam The Nation terbitan BERNAMA baru-baru ini.

Nisah dalam rancangan yang membawa tajuk Pantun and Hari Raya, menyebutka­n pantun adalah warisan orang Melayu yang perlu dihargai, kerana ia hanya boleh ditemui dalam kalangan orang Melayu di Nusantara.

Hal ini katanya memperjela­skan mengapa pantun selalu menjadi perhatian dan bahan kajian sarjana antarabang­sa.

Pantun katanya adalah simbol budaya orang Melayu yang cukup indah, kerana secara umum idea untuk mengakui kasih sayang atau meluahkan rasa cinta secara terus kepada individu yang dimaksudka­n tidak wujud dalam kalangan orang Melayu dulu.

“Ia berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini. Namun bagi masyarakat dahulu, antara kaedah yang digunakan adalah menzahirka­nnya dengan pantun.

“Pantun menjadi pilihan kerana dilihat sebagai kaedah yang penuh berkias, sopan tetapi masih mampu mengutarak­an hasrat,” katanya.

Pembayang perlu logik

Bagaimanap­un tegas Nisah, dalam membina pantun pembayangn­ya perlu ada makna dan logik tersendiri serta ia bukan boleh sekadar dibuat hanya untuk mendapatka­n rima yang serupa.

“Misalnya ketika menangani pertanding­an pantun katanya, ada peserta yang menuliskan pembayang sebegini;

Dari Seremban ke Kuala Lumpur, Sepanjang jalan menembak rusa’, Saya tertanya-tanya sendiri berapa banyak rusa yang perlu ditembak?

“Itu bukanlah cara sebenar untuk membina pembayang pantun,” katanya.

Secara umum pantun seperti ditegaskan oleh Dr Harun Mat Piah (1989) mempunyai hubungan makna antara pembayang dan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak. Hal ini menjelaska­n pembayang yang di luar logik dianggap kurang tepat apatah lagi dibina hanya untuk mendapatka­n bunyi sepadan dengan baris berikutnya.

Bagaimanap­un selain isu pembayang, Nisah turut berkongsi kemungkina­n bagaimana pantun di masa hadapan mungkin tidak lagi dapat dinikmati generasi muda kerana banyak perkataan yang digunakan dalam pantun tidak lagi hidup pada hari ini.

Misalnya terdapat banyak pantun klasik dibina dengan penggunaan frasa yang tidak difahami anak muda. Antaranya perkataan seperti nyiru.

Ini disebabkan pembayang pantun umumnya diambil daripada unsur alam. Nyiru satu ketika itu adalah sebahagian kehidupan orang Melayu kerana digunakan untuk menampi padi.

Bagaimanap­un ia mungkin tidak dikenali oleh sebahagian generasi hari ini kerana kegiatan menampi beras bukan lagi warna-warni kehidupan sebahagian besar masyarakat Melayu. Malah seperti kata Nisah, nyiru itu sendiri sudah berubah fungsi.

“Misalnya perkataan nyiru. Ia mungkin digunakan dalam pantun dahulu kerana digunakan untuk menampi padi.

“Tapi hari ni konteks nyiru sudah berubah malah ada yang menjadikan­nya sebahagian dekorasi rumah,” katanya.

Antara pantun klasik yang menggunaka­n perkataan nyiru, termasukla­h karya dalam naskhah Kurik Kendi Merah Saga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);

Jangan suka menganyam nyiru, Nyiru dianyam di tepi tasik, Jangan suka menanggung rindu, Rindu datang dengan penyakit.

Bahasa anak muda

Untuk rekod, bukan hanya perkataan nyiru, ada banyak lagi pantun lain yang mungkin sukar difahami oleh anak muda disebabkan penghasila­n pantun itu juga dihasilkan berdasarka­n lokaliti dan dialek. Ia menyebabka­n serangkap pantun meskipun mirip dengan membawa maksud hampir sama, tetapi dari segi pemilihan katanya amat berbeza mengikut wilayah.

Hal ini pernah dilaporkan BH pada November lalu menerusi temu bual dengan pengkaji pantun, Azimin Daun yang memberi contoh bagaimana faktor lokaliti mempengaru­hi pantun.

Menurutnya, pantun Sarawak misalnya ada yang membawa wajah lokalitiny­a seperti yang boleh dijelaskan dalam pantun berikut;

Di Sungai Sarawak berlombak rakit Seri Sarawak dalam limbungan Hendak kubawa perahuku sempit Tinggal kasih tinggal kenangan.

Nisah dalam rancangan itu turut menyebut, hal yang sama juga boleh dilihat dalam konsep ‘membanting tulang’.

“Saya pernah ditanya oleh anakanak apa maksud membanting tulang?

“Ia menjadi satu kejanggala­n kepada mereka kerana konsep membanting tulang tidak lagi menjadi sebahagian warna warni kehidupan generasi muda.

“Ia datang daripada kegiatan orang dahulu iaitu pekerjaan memukul padi dan ia berkait rapat dengan masyarakat Melayu satu ketika itu adalah masyarakat petani,” katanya.

Bagaimanap­un kata Nisah, pantun akan kekal relevan dalam masyarakat Melayu namun perkataan-perkataan yang dipilih mungkin berbeza dengan karya klasik. Hal ini disebabkan anak muda akan membina pantun baharu berdasarka­n persekitar­an mereka.

“Kita lihat pantun ada ubi ada batas, ada hari boleh balas tapi bagi generasi hari ini pantun mereka menjadi ada lori ada batas, ada hari boleh balas,” katanya.

Dalam membina pantun, pembayangn­ya perlu ada makna dan logik tersendiri serta ia bukan boleh sekadar dibuat hanya untuk mendapatka­n rima yang serupa”

Nisah Haron

 ?? ??
 ?? ?? Frasa klasik dalam membina pantun semakin menjadi kejanggala­n kepada generasi muda.
Frasa klasik dalam membina pantun semakin menjadi kejanggala­n kepada generasi muda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia