Berita Harian

Letih bukan alasan buat Arsenal

Arteta tidak bimbang jadual padat diharungi anak buah

-

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak bimbang dengan jadual padat diharungi pemainnya menjelang perlawanan penting seteru tetangga utara London di Tottenham Hotspur malam ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal akan mendahului empat mata di depan juara bertahan Manchester City jika mereka mengalahka­n Tottenham, sekalipun City, yang berdepan Nottingham Forest beberapa jam kemudian, mempunyai kelebihan kerana beraksi kurang dua perlawanan.

Pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur tidak beraksi selama dua minggu manakala Arsenal bermain empat kali dalam tempoh itu - dua aksi suku akhir Liga Juara-juara menentang Bayern Munich dan aksi liga berdepan Wolves dan Chelsea.

“Saya suka hakikat kami bermain empat perlawanan. Kami mengharung­i beberapa pengalaman hebat.

“Ia benar-benar satu minggu yang mencabar. Kami meraih keputusan yang hebat dalam dua perlawanan terakhir. Ia meningkatk­an keyakinan setiap pemain. Kami berada di kedudukan yang bagus.

“Kami akan melakukan apa yang boleh untuk bersedia dengan baik bagi perlawanan Ahad ini,” kata Arteta yang mana pasukannya akan berbaki tiga perlawanan selepas pertemuan dengan Tottenham.

Misi akhiri kemarau 20 tahun

Sekalipun Arsenal mendahului ketika mereka memburu kejuaraan pertama dalam tempoh 20 tahun, Manchester City dianggap sebagai pilihan secara statistikn­ya untuk memenangi kejuaraan keempat berturut-turut.

Arsenal, yang seri 2-2 dengan Tottenham di laman sendiri, secara asasnya mempunyai skuad paling cergas bagi kemuncak musim ini dengan pemain pertahanan Jurrien Timber akan kembali tidak lama lagi.

Timber, yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament Ogos lalu, beraksi separuh babak bersama pasukan B-21 Arsenal Isnin lalu.

“Kami akan membuat keputusan (mengenai Timber) esok selepas sesi latihan. Saya tidak tahu jika ini terlalu awal buatnya, tetapi dia semakin hampir kembali,” kata Arteta.

REUTERS

 ?? (Foto REUTERS) ?? Arteta (tengah) bersama pemain Arsenal ketika sesi latihan di London Colney.
(Foto REUTERS) Arteta (tengah) bersama pemain Arsenal ketika sesi latihan di London Colney.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia