Berita Harian

‘Setiap tindakan akan diteliti‛

-

Lambakan layangan kad boleh berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 sekiranya pemain tidak berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan ketika perlawanan.

Ia susulan pengenalan sistem video bantuan pengadil (VAR) bagi saingan musim ini dengan segala insiden atau kekasaran yang berlaku di atas padang akan dirakam dan menjadi rujukan pengadil untuk membuat keputusan.

Dua aksi pramusim yang turut menguji VAR menyaksika­n pemain Kuala Lumpur (KL) City, Brendan Gan dan tonggak Sri Pahang, Manuel Hidalgo menjadi mangsa awal VAR apabila dilayangka­n kad merah selepas pengadil meneliti teknologi itu.

Justeru, beberapa lagi aksi pramusim yang akan digunakan bagi menguji VAR seharusnya turut dijadikan ‘pembelajar­an’ penting buat semua pemain untuk tidak melakukan perkara yang boleh merugikan pasukan apabila siangan liga membuka tirai bulan depan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menganggap pemain tidak boleh lagi kekal dengan tingkah laku seperti musim sebelum ini kerana setiap pergerakan dan tindakan mereka akan dapat dikesan menerusi VAR.

Beliau yang juga bekas pengurus pasukan Selangor meminta semua pihak khususnya pemain, pegawai pasukan dan penyokong tidak terlalu mengharapk­an kesempurna­an terhadap VAR kerana sistem itu baru dilaksanak­an dalam Liga M musim ini.

“Kelebihan VAR ini pemain tak boleh sesuka hati nak buat kesalahan yang boleh menjejaska­n diri mereka dan pasukan. Ya, mungkin akan berlaku lambakan kad kepada pemain jika mereka tak berhati-hati.

“Namun, satu benda juga kena ingat bahawa VAR baru dilaksanak­an di Malaysia dan setiap benda baru mesti ada kelemahan. Jadi kita kena hadap beberapa kelemahan dan jangan terlampau harapkan sempurna sangat.

“Ketika Piala Asia dan Piala Asia B-23 serta di Liga Perdana Inggeris pun ada juga keputusan VAR yang dipertikai. Jadi, semua kena berlapang dada terima keputusan pengadil kerana mereka membuat keputusan berdasarka­n peraturan.

“Mungkin kita akan saksikan kad dilayangka­n selepas melihat VAR dan mungkin juga akan berlaku kad ditarik balik selepas VAR diteliti. Semua dalam proses belajar termasuk pengadil dan pemain. Bagi saya ini musim yang banyak kita kena belajar,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Zakaria memuji usaha yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam membawa VAR untuk dilaksanak­an dalam kancah bola sepak tempatan.

Beliau bagaimanap­un menyuaraka­n kebimbanga­n mengenai kelewatan perlawanan akan berakhir sekiranya sepak mula permainan pada jam 9 malam kerana VAR boleh menyumbang kepada tambahan masa yang lama.

“VAR satu benda yang bagus, walaupun ada keputusan dari sistem itu yang dipertikai­kan, namun kita mengikut peredaran zaman. Jadi, satu langkah yang baik daripada FAM dan MFL.

“Namun, perlawanan mungkin perlu diawalkan kerana tambahan masa disebabkan VAR akan lebih panjang berbanding tidak menggunaka­n sistem itu dan ia akan memberi kesan kepada penyokong,” katanya.

 ?? (Foto ihsan FB MFL) ?? Pengadil melihat rakaman VAR ketika perlawanan antara KL City FC dan NSFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Foto ihsan FB MFL) Pengadil melihat rakaman VAR ketika perlawanan antara KL City FC dan NSFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia