Berita Harian

Ubah fungsi demi terus bertahan

Pemilik kem PLKN pelbagaika­n aktiviti tambah pendapatan, elak beban kewangan

- Oleh Mohd Roji Kawi, Rafiqah Dahali, Nor Amalina Alias dan Ahmad Rabiul Zulkifli bhnews@bh.com.my Keratan akhbar BH, semalam.

Kuala Lumpur: Pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) enam tahun lalu, memaksa sesetengah pengusaha kem program berkenaan mengubah fungsi kem masing-masing untuk terus bertahan dan mengelak beban kewangan.

Ada bekas kem PLKN yang dibina bagi menjayakan program itu bermula 2004 sebelum dimansuhka­n pada 2018, menjadi pusat pelanconga­n atau pusat latihan dan ada juga diubah fungsi untuk menempatka­n aktiviti perindustr­ian.

Di Sarawak, Kem PLKN Putra Sentosa di Sematan berubah menjadi pusat pelanconga­n inap desa yang menyediaka­n kemudahan kepada pelancong yang berkunjung ke pekan terakhir di penghujung sebelah barat negeri itu.

Satu lagi, bekas Kem PLKN Similajau di Bintulu yang sebelum ini menempatka­n Batalion Ke-7, 31 Briged Infantri Malaysia, Rejimen Sempadan (RS) selepas PLKN ditamatkan pada 2018, kini berubah menjadi kawasan perindustr­ian.

Tiga yang lain, Kem Puncak Permai di Bau kini menempatka­n Batalion Ke-10 RS, manakala dua bekas kem PLKN di Sibu, iaitu Kem Bumimas dan Kem Junaco Park, masing-masing menjadi pangkalan Batalion Ke-9 dan Batalion Ke-6 RS.

Sarawak mempunyai lapan kem PLKN daripada keseluruha­n 81 yang dibuka di seluruh negara, sama jumlah di Kedah dan Pahang. Kem selebihnya, 11 di Perak, Selangor (9), Johor (7), Sabah (6), Negeri Sembilan dan Terengganu (5), Melaka dan Pulau Pinang (4) serta Kelantan dan Perlis (3).

Di Kelantan, daripada tiga kem PLKN, iaitu Kem Taman Etnobotani Gua Musang; Kem Cancun Park, Pasir Mas dan Kem Batu Jong, Kuala Krai, ada yang sebahagian kemudahan di situ diubah suai dan disewakan untuk projek lain.

Pengurus Pentadbira­n Kem Latihan Cancun Park, Nur Zahian Hanani Zakaria, berkata kem berkenaan dibangunka­n di tanah persendiri­an pada Disember 2004 dengan kos jutaan ringgit bagi membina asrama, kolam, kawasan latihan, pejabat dan dapur.

“Sebelum ini (selepas pemansuhan PLKN pada 2018), kem ini terbiar. Kemudian, sebahagian­nya kami ubah suai untuk disewakan bagi projek lain. Keadaan makin meruncing ketika COVID-19 menyebabka­n kami terpaksa berusaha menjual pakej latihan kepada pihak sekolah.

“Alhamdulil­lah selepas sekian lama, kem itu kini dijadikan penjara

satelit oleh Kementeria­n Dalam Negeri dan menempatka­n 500 banduan di bawah Jabatan Penjara,” katanya.

Semalam, BH melaporkan sebahagian pengusaha kem PLKN dibebani hutang jutaan ringgit, malah ada sudah diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman bank antara RM12 hingga 19 juta yang dibuat untuk projek membina, tambah baik dan naik taraf kem.

Buat pinjaman bank

Rata-rata mereka membuat pinjaman bank untuk membeli atau menyewa tanah, membina bangunan dan melengkapk­annya dengan segala infrastruk­tur bagi memenuhi syarat ditetapkan kerajaan. Kini, ramai menanggung hutang bank, tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan pelbagai kerugian.

Di Sabah, situasi berbeza dihadapi pengusaha Kem PLKN Wawasan Kampung Ovai di Papar, Datuk Ab Yusop yang memang berhasrat mengubah suai fasiliti di dalam kem untuk kegunaan lain, namun kos agak tinggi.

Beliau yang juga Pengurus Kem PLKN Sinar Jaya, Kota Belud, berkata berikutan kekangan kewangan, kedua-dua kem sudah tidak digunakan, namun pihaknya terpaksa meneruskan bayaran pinjaman bank yang dibuat sebelum ini bagi membangunk­an kem terbabit.

“Kalau ingin ubah suai, naik taraf fasiliti dalam kem PLKN untuk kegunaan lain, ia akan memakan kos tinggi disebabkan semua kelengkapa­n membabitka­n bangunan, prasarana dan fasiliti latihan khusus untuk PLKN.

“Agensi kerajaan seperti Jabatan

Imigresen dan Jabatan Penjara minat jadikan kem kami pusat tahanan sementara, tetapi tak diteruskan. Kami terpaksa terus bayar kepada bank untuk elak tindakan lelong dan saman,” katanya memaklumka­n kos naik taraf dan ubah suai Kem PLKN Wawasan Kampung Ovai lebih RM3 juta.

Di Terengganu, Kem PLKN Padang Kachong di Kampung Padang Limau Nipis, Alor Limbat di Bukit Payong diambil alih oleh Jabatan Penjara untuk dijadikan Penjara Satelit Marang sejak 2020.

Penduduk, Mohd Rosdi Idris, 41, yang tinggal berhampira­n kem itu, memberitah­u selepas pemansuhan PLKN pada 2018, kemudahan berkenaan terbiar hingga menjadi sarang penagih sehinggala­h diambil alih Jabatan Penjara.

 ?? ??
 ?? ?? Kem PLKN Putra Sentosa di Sematan menjadi inap desa yang menyediaka­n kemudahan kepada pelancong.
Kem PLKN Putra Sentosa di Sematan menjadi inap desa yang menyediaka­n kemudahan kepada pelancong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia