Berita Harian

Disenarai hitam bank punca sukar urus premis

-

Kuala Lumpur: Kekangan kewangan dan disenarai hitam bank antara punca bekas pengusaha kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sukar untuk terus mengurus kem masing-masing sehingga ada yang terbiar dan rosak teruk selepas program itu dimansuhka­n pada 2018.

Presiden Persatuan Kebajikan Bekas-bekas Pengusaha Kem PLKN, Mohd Rawi Mohd Arof, berkata rata-rata 57 pengusaha hilang punca pendapatan selepas program berkenaan dimansuhka­n melalui notis 30 hari yang diberikan tanpa perbincang­an.

“Modal dikeluarka­n bukan sedikit, hanya beberapa kem masih beroperasi sehingga kini dengan menukar operasinya, sama ada jadi kem motivasi, resort atau institut memandu. Ada juga dapat kontrak kerajaan, kem dijadikan pusat tahanan sementara Imigresen, penjara satelit dan tempatkan Rejimen Sempadan.

“Selebihnya, banyak yang terbiar dan rosak kerana pengusaha tiada kemampuan kewangan untuk terus kekalkan kem mereka, malah nak upah pengawal keselamata­n untuk memastikan kawasan kem tidak diceroboh pun tak mampu,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Tambahnya, kos mengurus sesebuah kem sebelum ini juga memerlukan belanja puluhan ribu sebulan termasuk membiayai gaji pekerja kerana kem PLKN amat luas, antara lapan hingga 12 hektar.

“Ketika PLKN ditangguh setahun pada 2015, walaupun kerajaan beri bantuan untuk kos operasi PLKN, ia tak cukup, operator terpaksa keluar duit sendiri untuk tampung kos selenggara. Masa itu, tak apalah kerana kerajaan bantu dan janji akan mulakan semula (PLKN). Sekarang bagaimana nak urus kem?,” katanya.

Menurutnya, ramai pengusaha kem kini disenarai hitam bank kerana tidak mampu melunaskan bayaran pinjaman, manakala lebih 20 peratus daripada 57 bekas pengusaha yang syarikat mereka dalam senarai Jabatan Insolvensi Malaysia selain pendaftara­n syarikat dibatalkan Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM).

“Pengusaha keluar modal jutaan ringgit termasuk buat pinjaman bank dan terbeban dengan hutang. Tiba-tiba nak tukar (operasi) kem PLKN kepada perniagaan lain seperti resort atau pusat motivasi, asrama, kolej, yang perlukan lagi modal, itu yang jadi masalah.

“Ada juga kem ditawarkan kerajaan untuk dijadikan penjara satelit kerana lokasinya dekat dengan penjara sedia ada, namun pengusaha terpaksa tolak tawaran itu kerana perlu keluarkan modal RM2 juta hingga RM3 juta lagi untuk ubah suai kem mengikut spesifikas­i ditetapkan Jabatan Penjara,” katanya.

Katanya, untuk menukar kem PLKN kepada perniagaan lain seperti resort atau kemudahan penginapan juga tidak mudah kerana kebanyakan kem berada jauh di luar bandar dan tidak semua ada landskap menarik untuk dijadikan daya tarikan orang ramai.

“Kedua, isu kebenaran penggunaan tanah kem PLKN kerana ia disewa, sama ada daripada kerajaan atau sekumpulan pemilik tanah khusus untuk kem PLKN. Kami terpaksa ikut syarat perjanjian, tambah lagi ada pemilik tanah enggan tanah ditukar status.

“Contoh, ada satu kem di Pahang, pengusahan­ya mahu jadikan resort, tapi pemilik tanah, iaitu kerajaan negeri tidak bagi kebenaran kerana tidak mahu merosakkan tasik dan hutan simpan yang ada dalam lingkungan tanah tapak kem berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia