Berita Harian

SPRM, PDRM siasat 4 kereta mewah dikait 1MDB

-

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti maklumat mengenai empat kereta model Bugatti Veyron yang dirampas polis Jerman dari kemudahan simpanan persendiri­an di Munich.

Difahamkan, kedua-dua agensi itu ketika ini sedang bekerjasam­a rapat, termasuk berkongsi maklumat mengenai rampasan kenderaan mewah itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi BH turut mengesahka­n, pihaknya akan sedia membantu dalam siasatan kes berkenaan.

“Apa juga bantuan dikehendak­i, PDRM akan sedia membantu,” katanya, di sini, semalam.

Setakat ini, BH bagaimanap­un masih belum mendapatka­n maklumat lanjut mengenai siasatan difahamkan turut dijalankan oleh SPRM itu.

Seorang pegawai kanan agensi terbabit berkata, SPRM akan memberi respons lanjut berhubung kes berkenaan.

Akhbar di Berlin melaporkan, polis Jerman merampas empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendiri­an di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Kenderaan mewah dirampas dikelaskan di bawah siri eksklusif ‘Legends’ kereta hiper Bugatti, yang mana hanya 18 kereta dihasilkan di bawah siri itu.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-pierre Wimille dan Meo Constantin­i. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).

“Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut media Jerman, Bild.

Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjuka­n automotif.

Skandal 1MDB membabitka­n personalit­i daripada ahli politik dan bank sehinggala­h bintang Hollywood dan membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.

Pada 2021, SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabang­sa setakat ini berjaya memulangka­n aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

SPRM memaklumka­n, badan itu kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Tahun lalu, SPRM berjaya memperoleh semula RM23.9 juta wang hasil daripada proses pemulihan aset 1MDB dari Ogos 2023 sehingga hingga 5 Februari.

Agensi antirasuah itu dalam kenyataan memaklumka­n wang dan aset berkenaan berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak, termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela daripada lima individu, termasuk RM4.55 juta daripada Amhari Effendi iaitu bekas pegawai Najib.

Pada Mac 2023, Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Azam Baki kemudian mengesahka­n kerajaan sudah berjaya mendapatka­n kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitka­n jumlah kira-kira RM28.3 bilion.

Ia adalah satu kejayaan besar buat negara hasil kerjasama SPRM, Kementeria­n Kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Pada Ogos, Razarudin berkata, SPRM dijangka akan melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1MDB susulan penahanan sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low, Jasmine Loo pada 7 Julai lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia