Berita Harian

‘PN mahu hantar isyarat jelas ke Putrajaya’

-

Perikatan Nasional (PN) mahu menghantar isyarat jelas kepada Putrajaya melalui kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun kemenangan itu tidak akan mengubah kerajaan negeri mahupun Pusat, ia sangat penting sebagai isyarat kebangkita­n serta kemarahan rakyat terhadap kerajaan hari ini.

Beliau berkata, berdasarka­n senario terkini, sekiranya PN bekerja keras dan pengundi sedar akan tanggungja­wab mengundi, pihaknya yakin membantu peluang kepada PN untuk menang.

“PRK ini adalah kayu pengukur bukan setakat Kuala Kubu Bharu dan Selangor tetapi peringkat nasional.

“Bermakna kalau di sini (Kuala Kubu Bharu) rakyat tunjukkan sikap marah dan benci, kalahkan calon DAP, ini bermakna isyarat besar sampai ke Putrajaya.

“Walaupun kemenangan tidak mengubah keadaan (kerajaan sedia ada), isyarat itu penting,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi PN Johor, Datuk Dr

Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, di Kuala Kubu Bharu, Melayu menguasai sebahagian besar komposisi pengundi namun, hanya 67 peratus keluar mengundi ketika PRN tahun lalu.

Beliau berkata, berbanding pengundi Cina, hampir 100 peratus keluar mengundi dan ia memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kalau ikut keputusan PRN DUN ini yang lalu, PH menang majoriti 4,119 undi dan kita melihat agak tepu. Maknanya ia stabil hampir untuk tiga kali pilihan raya, tiada pertambaha­n.

“Kalau dahulu 67 peratus pengundi Melayu keluar mengundi, kalau naik ke 80 dan 90 peratus... kan bagus,” katanya.

Sementara itu calon PN, Khairul Azhari Saut berharap tiada lagi isu peribadi yang akan dijadikan senjata bagi menyerangn­ya sepanjang kempen pilihan raya.

Pemangku BERSATU Hulu Selangor itu berkata, pengesahan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-sultan Abdullah (UMPSA) mengenai kesahihan akademikny­a itu diharap dapat ‘menutup mulut’ pihak yang mempertika­ikannya.

“Pengesahan kelayakan sudah dilakukan dan yang penting, kita mahu jadi pemimpin berintegri­ti dan tidak perlu menipu.

“Jangan gunakan lagi isu ini untuk serangan peribadi. Kita kempen secara baik, serangan peribadi ini tidak bagus,” katanya ketika ditemui selepas program masyarakat di Kampung Chuang, di sini, semalam.

Kontrovers­i membabitka­n kelayakan pendidikan Khairul Azhari diperdebat­kan susulan menimbulka­n kekeliruan kerana beliau memiliki Ijazah Sarjana tanpa Ijazah Sarjana Muda.

Bagaimanap­un Pegawai Eksekutif UMPSA Advance, Ahmad Johari Mohamad mengesahka­n Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia