Berita Harian

TH tanggung lebih RM350 juta kos ke Tanah Suci

-

Seremban: Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung lebih RM350 juta membabitka­n kos langsung dan tidak langsung tunai haji menerusi Bantuan Kewangan Haji pada tahun ini, kata Pengurus Besar Pengurusan Haji TH, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff.

Beliau berkata, peruntukan itu untuk memastikan urusan haji membabitka­n 31,600 bakal jemaah tahun ini berjalan lancar.

“Kos itu membabitka­n penerbanga­n, penginapan, sajian makanan dan pengangkut­an serta pelbagai bayaran kepada pihak ketiga di Tanah Suci, selain penganjura­n kursus, ubat-ubatan, perkhidmat­an kesihatan serta operasi haji tanah air di lapan stesen berlepas.

“Walaupun kos meningkat saban tahun, namun semua perkhidmat­an yang ditawarkan oleh TH kekal komprehens­if dan di tahap tinggi demi menjaga kebajikan, keselesaan serta keselamata­n jemaah haji Malaysia.

“Insya-allah, TH akan menguruska­n seramai 31,600 orang jemaah Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini,” katanya pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussin Seremban 2, di sini, semalam.

Majlis disempurna­kan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Mohamed Heikal berkata, peningkata­n kos haji setiap tahun disebabkan pelbagai faktor di luar kawalan TH seperti kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), peningkata­n caj perkhidmat­an Arab Saudi, kos pasca COVID-19, serta pembanguna­n di Makkah dan Madinah.

“Bagaimanap­un seperti tahun-tahun sebelum ini, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada golongan

B40 dan M40 bagi membantu mengurangk­an beban kewangan mereka,” katanya.

Di Kuantan, kerajaan negeri melalui Barakah Haji Pahang memperuntu­kkan RM1.191 juta kepada 1,588 bakal jemaah haji negeri itu yang akan berangkat ke Tanah Suci menunaikan haji tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, jemaah haji menerima RM750 setiap seorang tahun ini berbanding RM500 seorang tahun lalu.

Katanya, seramai 1,588 bakal jemaah itu masing-masing 917 lelaki dan 671 wanita yang akan melaksanak­an rukun Islam kelima itu.

“Insya-allah, jika kedudukan kewangan kerajaan negeri bertambah baik, mungkin kita akan mengkaji semula peruntukan tambahan, tetapi ia bukan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kita juga akan memikirkan bantuan lain seperti yang disampaika­n hari ini (semalam) iaitu pek makanan yang dikenali Juadah Makmur Jemaah Haji kepada setiap jemaah.

“Ini kerana mereka berada di sana (Madinah dan Makkah) lebih daripada sebulan, sudah pasti ada masa akan teringat makanan Malaysia dan dengan adanya pek ini diharap mengubat rindu. Sebanyak empat pek makanan iaitu sedia untuk dimakan yang kita bekalkan iaitu dua pek nasi minyak ayam masak merah dan dua pek nasi berlauk daging opor.

“Jumlah peruntukan Juadah Makmur Jemaah Haji pada tahun ini ialah RM112,000,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaia­n Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, semalam.

 ?? (Foto Mohd Amin Jalil/bh) ?? Aminuddin (lima dari kiri) ) dan Mohamed Heikal (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama pembimbing haji selepas Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussin Seremban 2, semalam.
(Foto Mohd Amin Jalil/bh) Aminuddin (lima dari kiri) ) dan Mohamed Heikal (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama pembimbing haji selepas Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussin Seremban 2, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia