Berita Harian

Tak ikhlas hantar anak ke kelas KAFA

Ibu bapa perlu faham, cakna fungsi dan peranan sekolah aliran agama

- Oleh Abnor Hamizam Abd Manap bhpendidik­an@bh.com.my

Bagi kebanyakan murid di Malaysia, setiap hari mereka perlu mengikuti dua sesi persekolah­an iaitu aliran kebangsaan dan agama. Sama ada mengikutin­ya di sekolah kelolaan kerajaan negeri atau swasta, aliran agama dilihat sebagai melengkapi sistem pendidikan kebangsaan.

Bagaimanap­un peperiksaa­n di sekolah-sekolah aliran agama ini menjadi penting apabila ia menjadi syarat masuk utama ke sekolah menengah aliran serupa.

Sekolah berasrama penuh aliran agama misalnya di bawah kelolaan kerajaan negeri atau persekutua­n kebanyakan­nya meletakkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaa­n seperti Ujian Penilaian KAFA (UPKK) selain ada juga yang bersandark­an Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) atau pelbagai lagi jenis peperiksaa­n agama negeri sebagai syarat kemasukan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembanguna­n Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohd Syaubari Othman, berkata KAFA (kelas al-quran dan fardu ain) berkonsepk­an pengukuhan asas Pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca al-quran serta asas fardu ain.

Katanya, sejak tahun 1994, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkena­lkan UPKK bagi murid Tahun Lima di sekolah aliran agama sebelum pada 2010, ia menjadi antara syarat utama kemasukan pelajar ke sekolah menengah agama persekutua­n dan negeri.

“Bagaimanap­un tidak semua ibu bapa hantar anak ke aliran agama yang umumnya di sebelah petang. Misalnya, kalau tengok rekod UPKK pada 2019, seramai 8,921 calon tidak mengambil ujian berkenaan.

“Malah ada juga ibu bapa menjadikan kelas KAFA hanya sebagai tempat meninggalk­an anak-anak sebelum ibu bapa habis kerja. Jadi sebab itu ada murid yang tidak duduki UPKK,” katanya.

Mohd Syaubari berkata, selain itu ada juga pandangan yang menyatakan berlaku pertembung­an silibus antara KAFA dan subjek Pendidikan Islam di peringkat Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM).

Hal ini menjadi sebab kenapa ada ibu bapa tidak menghantar anak mereka mengikut pengajian di sekolah yang melaksanak­an pendidikan KAFA.

Dianggap beban

Tidak kurang juga yang melihat kelas KAFA sebagai bebanan, kerana anak-anak sudah penat bersekolah di aliran kebangsaan pada sebelah pagi, justeru mereka letih secara mental dan fizikal menyebabka­n ibu bapa enggan memasukkan anak-anak ke sekolah agama.

Justeru tegas beliau, ibu bapa sebenarnya perlu lebih faham dan cakna bagaimana fungsi dan peranan sekolah aliran agama bagi melihat perbezaan dan hala tuju yang ditetapkan dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah aliran kebangsaan.

“Dalam hal ini subjek Pendidikan Islam menekankan elemen kefahaman, pengamalan dan menjadikan­nya tabiat. Namun pengukuhan dan pemerkasaa­n itu akan lebih mantap menerusi KAFA.

“Apa yang dipelajari di sekolah kebangsaan, ia akan diperkasak­an dan kesinambun­gannya ada menerusi KAFA,” katanya.

Mohd Syaubari berkata, disebabkan sekolah aliran agama dikelolaka­n oleh kerajaan negeri, setiap satunya berbeza. Misalnya, peperiksaa­n seumpama itu di Selangor dikenali sebagai PSRA, di Johor ia disebut sebagai Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Perak (Ujian Sijil Rendah Agama Islam Negeri Perak (SRAI) dan di Wilayah Persekutua­n dikenali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA).

Jika UPKK diduduki oleh murid Tahun Lima, kebanyakan peperiksaa­n yang lain diambil oleh mereka di Tahun Enam.

Dalam hal ini Mohd Syaubari berkata, JAKIM dan pihak jabatan agama Islam di setiap negeri mungkin perlu menyeragam­kan semua jenis peperiksaa­n berkenaan.

“Jika semua jenis peperiksaa­n dan ujian ini distruktur dengan menggunaka­n nama yang sama, ia akan menjadikan pengurusan peperiksaa­n bagi sekolah agama rakyat lebih tersusun dan berstruktu­r.

“Malah mungkin JAKIM dan jabatan agama negeri boleh membuat penilaian dalam bentuk baharu jika mahu melahirkan generasi kreatif dan inovatif dalam bidang pendidikan agama sama seperti yang dilaksanak­an oleh oleh Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pentaksira­n Berasaskan Sekolah (PBS),” katanya.

Hal ini tegas beliau, bagi memastikan kefahaman agama ini dapat dibentuk secara menyeluruh dan berterusan seiring cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik supaya sistem pendidikan tidak lagi berfokuska­n kepada sistem peperiksaa­n, sebaliknya menumpukan kepada penerokaan bakat, pembanguna­n karakter dan keupayaan kreativiti murid yang perlu diberikan pertimbang­an serius.

Justeru katanya, ia juga boleh menanamkan kesedaran kepada segelintir ibu bapa mengenai kepentinga­n peranan sekolah KAFA dalam membentuk generasi muda berpengeta­huan agama.

Didikan agama sejak awal

Sementara itu JAKIM ketika dihubungi berkata, pengajian aliran agama KAFA adalah berasaskan kurikulum yang ditetapkan­nya termasuk buku teks, peperiksaa­n serta jadual atau waktu pengajaran dan pembelajar­an (PDP).

Jurucakapn­ya berkata, tenaga pengajarny­a adalah guru KAFA yang elaunnya dibayar menggunaka­n peruntukan Kerajaan Persekutua­n melalui JAKIM, manakala pemantauan pelaksanaa­nnya dikelolaka­n penyelia yang dilantik.

“Objektif pelaksanaa­n KAFA adalah supaya kanak-kanak Islam yang berusia tujuh hingga 12 tahun di negara ini dapat menguasai bacaan, tajwid, asas hafazan al-quran, ilmu akidah, ibadah, sirah, akhlak, kemahiran asas Bahasa Arab dan jawi dengan baik.

“Justeru pembukaan kelas KAFA tidak terhad di sekolah agama rakyat atau sekolah kebangsaan sebaliknya mana-mana pihak boleh mengemukak­an permohonan bagi mengadakan kelas KAFA mengikut syarat dan peraturan ditetapkan Jakim,”katanya

Sementara itu mengulas keputusan UPKK yang diumumkan baru-baru ini, seramai 230,587 murid Tahun lima menduduki peperiksaa­n itu dengan 28,531 memperoleh keputusan cemerlang dengan A bagi semua subjek.

Bagaimanap­un seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ketika mengulas pencapaian itu, kemenjadia­n murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasi­kan dalam kehidupan.

“Harapan kami ialah supaya murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarak­kan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak jagaan mereka menghadiri kelas KAFA yang sangat bermanfaat dalam pembentuka­n sahsiah diri seawal usia.

Ada juga pandangan yang menyatakan berlaku pertembung­an silibus antara KAFA dan subjek Pendidikan Islam di peringkat Kementeria­n Pendidikan Malaysia

Mohd Syaubari Othman,

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembanguna­n Manusia, UPSI

 ?? ??
 ?? (Foto hiasan) ??
(Foto hiasan)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia