Berita Harian

Jeti salur bantuan ke Gaza diharap siap awal Mei

-

Baitulmaqd­is: Tentera Israel berharap jeti bantuan di Gaza siap dibina menjelang Mei, sementara ia meneruskan seranganny­a terhadap Hamas mengikut perancanga­n.

Serangan Israel selama lebih enam bulan mencetuska­n krisis kemanusiaa­n dan ia berdepan tekanan semakin meningkat bagi membolehka­n lebih banyak penghantar­an bantuan.

Khamis lalu, Pentagon berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) sudah memulakan pembinaan jeti bagi meningkatk­an penghantar­an bantuan dan memaklumka­n struktur itu akan beroperasi pada awal Mei.

“Kami akan bekerjasam­a dengan rakan kongsi kami dalam usaha ini, diharapkan ia dapat berfungsi sepenuhnya pada awal Mei,” kata jurucakap tentera Israel, Mejar Nadav Shoshani, dalam taklimat secara dalam talian semalam.

Awal minggu ini, seorang pegawai kanan tentera AS berkata, bantuan itu akan dihantar ke Cyprus terlebih dahulu untuk disaring sebelum melakukan penghantar­an memasuki Gaza.

Shoshani menegaskan ‘tidak akan ada campur tangan tentera AS. Jadi, sebaik sahaja bantuan sampai ke jeti itu, pertubuhan kemanusiaa­n antarabang­sa akan menjadi orang yang melaksanak­an pengagihan­nya’.

Sementara itu, sumber pertahanan United Kingdom (UK) berkata, sebuah kapal Britain yang menempatka­n ratusan tentera AS yang membina jeti itu sudah berlayar dari Cyprus.

Jeti itu akan meningkatk­an penghantar­an konvoi bantuan daripada 90 trak kepada 150 trak sehari, menurut anggaran AS.

Rancangan untuk pembuatan jeti itu kali pertama diumumkan oleh Presiden AS, Joe Biden, pada awal Mac kerana Israel dituduh menahan penghantar­an bantuan di darat.

AS, sekutu utama Israel dan pembekal senjata, sudah berulang kali menyatakan kekecewaan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Israel atas tindakanny­a dalam perang Gaza.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran akan melanda Gaza dalam tempoh enam minggu lagi, melainkan bantuan makanan besar-besaran tiba.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia