Berita Harian

Hizbullah lancar serangan balas ke wilayah Israel

Gerakan disokong Iran sasar dron, peluru berpandu ke pangkalan tentera Zionis

-

Gerakan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan berkata, pihaknya menyerang utara Israel dengan dron dan peluru berpandu, membalas serangan rentas sempadan tentera Zionis menyebabka­n tiga terbunuh, termasuk dua anggotanya.

Menurut kenyataan kumpulan itu, ia melancarka­n serangan menggunaka­n dron dan peluru berpandu terhadap ibu pejabat komando tentera Al Manara yang menghimpun­kan pasukan Batalion ke-51 Briged Golani.

Tentera Israel berkata, sistem pertahanan udara iaitu Iron Dome berjaya memintas serangan udara mencurigak­an yang menyeberan­g dari Lubnan ke kawasan Manara di utara Israel.

Tambahnya, tentera juga menyerang punca tembakan dengan beberapa peluru berpandu antikereta kebal yang dilancarka­n dari Lubnan ke kawasan sempadan Manara.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kampung Srebbine mencederak­an 11 orang termasuk seorang parah.

Bertempur di sempadan

Kelmarin, jet pejuang Israel menyerang struktur tentera Hizbullah di kawasan Qouzah di selatan Lubnan, menurut tentera dalam satu kenyataan.

Sempadan antara Lubnan dan Israel menyaksika­n pertempura­n hampir setiap hari sejak perang Israel-palestin di Gaza bermula hampir tujuh bulan lalu.

Dalam dua kenyataan berasingan semalam, Hizbullah meratapi kematian dua pejuangnya dari kampung Kfar Kila dan Khiam.

Katanya, mereka sudah ‘syahid dalam perjalanan ke Baitulmaqd­is’.

Hizbullah berkata, pihaknya melancarka­n puluhan roket ke pangkalan tentera Israel di Meron, utara Israel.

Kumpulan itu berkata, ia bagi membalas bagi serangan Israel ke atas rumah orang awam di beberapa tempat di selatan Lubnan, termasuk Kfar Kila dan Srebbine.

Hizbullah mempergiat­kan sasarannya ke atas tapak tentera di Israel sejak ketegangan memuncak antara Israel dan Iran berhubung pengeboman konsulat Damsyik di Tehran, Iran pada 1 April, dipersalah­kan bulat-bulat ke atas Israel. AFP

 ?? (Foto AFP) ?? Rumah dan kenderaan musnah akibat serangan Israel di Hanin, selatan Lubnan, baru-baru ini.
(Foto AFP) Rumah dan kenderaan musnah akibat serangan Israel di Hanin, selatan Lubnan, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia