Berita Harian

Shah Firdaus tak mahu tunggu lagi buru pingat

-

Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mahu ‘melewat-lewatkan’ sasarannya memburu kilauan pingat terutama emas di temasya Sukan Olimpik walaupun masih berpeluang untuk menyertai Olimpik Los Angeles 2028.

Atlet berusia 28 tahun itu sudah pun mengesahka­n penyertaan dalam kontinjen negara di Paris 2024, yang bakal membuka tirainya Julai ini dan penampilan keduanya di temasya terbesar dunia berkenaan akan menjadi detik terbaik bagi membalas kekecewaan pada edisi sebelum ini Tokyo 2020.

Di Tokyo 2020, Shah Firdaus terbabit dalam satu kemalangan serius ketika menyertai saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu dan ‘detik hitam’ itu dianggap sebagai satu motivasi untuknya terus memburu kilauan pingat terutama di Paris nanti.

“Saya sudah meletak sasaran itu sejak di Tokyo lagi. Seperti di Tokyo saya nampak kemampuan saya, saya boleh menang perlumbaan itu. Dalam keirin, semua ada peluang sama rata untuk menang.

“Kita sudah melihat dalam banyak perlumbaan di peringkat tinggi, (atlet) Colombia pun boleh menang (bukan pilihan) walaupun dalam saingan itu ada juara dunia, jadi keirin memang tak boleh dijangka.

“Apapun, saya percaya saya ada kemampuan itu (bersaing merebut penamat podium) dan saya sudah buktikan seperti di Kejohanan Piala Negara-negara sebelum ini. Dari segi kemampuan saya percaya boleh, cuma dalam perlumbaan itu kita kena mengikut perancanga­n dan apa yang berlaku harus tepat pada masanya.

“Cuma kena sentiasa berhatihat­i, terlalu yakin pun tak boleh juga kerana (pengalaman) di Piala Negara-negara di Indonesia (tahun lalu) saya di final tetapi terbabit kemalangan dan di (Piala Negara-negara) Mesir yang disertai pelumba ternama, saya boleh bersaing untuk podium. Jadi dari sudut kemampuan, saya rasa boleh,” katanya.

 ?? ?? Muhammad Shah Firdaus
Muhammad Shah Firdaus

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia