Berita Harian

Prestasi Bursa Malaysia petunjuk negara di landasan betul pulih ekonomi

-

Sejak ringgit mencatatka­n kejatuhan hingga berada di bawah nilai sebenar, pelbagai tanggapan dilemparka­n terhadap keutuhan ekonomi negara, sekali gus menjadi perdebatan hangat daripada wacana awam dan polemik akademik hingga perbahasan di Parlimen. Ada pihak mencetuska­n keraguan terhadap usaha memikat pelabur luar yang dilakukan bukan hanya Kementeria­n Pelaburan, Perdaganga­n dan Industri (MITI), bahkan Perdana Menteri meskipun dari masa ke masa kerajaan mengumumka­n potensi dan kemasukan pelaburan dengan terbaru Microsoft berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Justeru, berita prestasi Bursa Malaysia, FBM KLCI melepasi 1,600 mata, sekali gus merekodkan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun dan menyaksika­n modal keseluruha­n pasaran ekuiti negara melebihi RM2 trilion pada awal minggu ini, menunjukka­n kita berada di landasan betul dalam usaha pemulihan ekonomi negara selepas melalui kepincanga­n institusi dan pandemik COVID-19. Harus diingat, kita juga menyaksika­n perang Russia-ukraine yang memberikan kesan langsung kepada keselamata­n makanan, ‘perang dagang’ antara Amerika Syarikat (AS) dengan China dan sejak 7 Oktober lalu, serangan genosid Israel ke atas Gaza yang boleh membawa dunia ke ambang Perang Dunia Ketiga jika kesan limpahanny­a terus membabitka­n negara serantau dan Asia Barat.

Di sebalik cabaran sering ditakrifka­n sebagai era pergolakan, ketidakpas­tian, kekompleks­an dan kekaburan (VUCA) serta ujian besar kemanusiaa­n melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dijangka mengambil alih sebahagian pekerjaan manusia dan meningkatk­an skala pasca-kebenaran, petunjuk seperti prestasi positif boleh menjadi tanda sejauh mana negara berada di landasan betul untuk mengharung­i pemulihan ekonomi. Apatah lagi, ada penganalis­is mengunjurk­an indeks KLCI boleh mencecah 2,500 hingga 3,000 mata dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Bagaimanap­un seperti kata pepatah ikhtiar menjalani, untung menyudahi, bermakna untuk mencapai sesuatu maksud kita mestilah melipatgan­dakan usaha, tidak hanya menyerah kepada nasib. Justeru, dari sisi kerajaan, kita melihat rangka kerja Ekonomi MADANI dengan perincian seperti Pelan Induk Perindustr­ian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sudah dibentangk­an dengan kesan kepada FBM KLCI boleh dijadikan isyarat positif. Ini memerlukan tindakan susulan bukan sahaja daripada kementeria­n berkaitan, bahkan pemegang taruh lain terutama sektor swasta, tidak terkecuali perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pada masa sama, kita tidak boleh menafikan usaha pemulihan ekonomi dengan menaikkan siling negara dan lantai pendapatan rakyat tidak akan berhasil sekiranya ia tidak disokong dengan kestabilan politik dan tadbir urus serta tata kelola baik melalui reformasi struktur terutama membabitka­n pembasmian jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Ini menjadikan tanggungja­wab tidak hanya terletak di bahu anggota pentadbira­n dan kakitangan awam, bahkan semua pihak termasuk parti politik dan orang persendiri­an untuk sama-sama membawa negara melayari gelombang getir dalam dekad ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia