Berita Harian

‘Malaysia perlu bergerak pantas bina ekosistem mantap pacu AI’

Perdana Menteri gariskan empat teras teroka pemikiran baharu era pasca normal

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah farahmarsh­ita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia perlu bergerak pantas membina ekosistem mantap bagi memacu perkembang­an dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam era pasca normal pada masa ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, selepas setahun setengah menerajui kerajaan, beliau melihat cabaran dihadapi negara adalah kesungguha­n meneroka pemikiran baharu dan melaksanak­annya dengan pantas.

“Saya tegaskan, kita tidak boleh dengan pendekatan lama. Kalau kita rasa perlu tambah jurutera, harus ada pendekatan segera kerana dalam pasca normal ini, memaksa dan menuntut kita membuat perubahan dengan pantas dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Malaysia Artificial Intelligen­ce (AI) Nexus 2024 - Boosting the Future (MY AI NEXUS) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Anwar turut menggarisk­an empat teras ekosistem berkenaan, iaitu tadbir urus AI (AI governance) untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik, di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligen­ce Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelaras­an dalam bidang pendidikan, pembanguna­n dan aplikasi AI.

Selain itu, pembanguna­n industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasio­nal dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesiona­l dan individu berkemahir­an melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan akademia.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr

Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Bagi memastikan Malaysia ada ekosistem mantap untuk menarik pelaburan dalam bidang berkenaan, Anwar meminta semua menteri yang terbabit untuk memberi fokus terhadap penjawat awam, universiti dan institusi latihan bahawa harus ada langkah segera ke arah itu.

Lahir lebih ramai jurutera

Anwar yang turut melancarka­n Fakulti AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada majlis sama, memuji kejayaan universiti itu membangunk­an fakulti AI dalam tempoh empat bulan selepas diminta kerajaan.

Beliau turut menekankan keperluan melahirkan lebih ramai jurutera berkemahir­an memandangk­an Malaysia ketika ini kekurangan kira-kira 30,000 jurutera bagi memenuhi keperluan industri.

Sementara itu, Anwar memberi tempoh dua minggu kepada Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyiapkan akses kepada maklumat serta kajian sedia ada pada peringkat kementeria­n dan agensi kerajaan bagi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, akses itu akan diberikan melalui pengkomput­eran awan dengan penyelaras­an oleh MOSTI dan inisiatif terbabit bakal memperkasa­kan AI di negara ini.

“Perkara ini penting supaya kita tahu jika nak buat pinjaman atau maklumat lain, sediakan format ringkas untuk disampaika­n.

“Berikan kita dua minggu untuk semua universiti terima... yang akan koordinasi ialah Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi),” katanya ketika Sesi Temu Anwar yang dikendalik­an oleh moderator, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.

Anwar menjawab soalan dikemukaka­n wakil pelajar berhubung kesediaan negara mempersiap­kan kemudahan komputer berprestas­i tinggi yang boleh diakses secara berpusat atau dalam talian.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut ditanya sama ada kerajaan akan memberi insentif kepada mahasiswa yang melanjutka­n pelajaran dalam bidang AI.

“Untuk pelajar yang mengambil bidang AI, kita menyediaka­n kemudahan dan latihan terbaik. Elaun sedia ada dikekalkan dan melihat kepada prestasi semasa mereka,” katanya.

Anwar seterusnya menggesa KPT, universiti dan institusi latihan untuk berinterak­si dengan wakil industri mengenai keperluan meningkatk­an mutu latihan bagi melahirkan jurutera berkemahir­an tinggi.

“Saya tanya wakil Nvdia, Google, Microsoft, Amazon, Huawei serta Ericsson dan semua menyatakan dari segi disiplin anak-anak kita, jurutera baharu dan graduan sains cukup baik, tetap ada kekurangan dari segi kemahiran, keterampil­an dan pengkhusus­an yang diperlukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, universiti dan institusi latihan perlu memberi penekanan kepada kualiti jurutera dilahirkan dan bukan bilangan semata-mata kerana pelaburan dalam negara akan terjejas jika industri berasakan kemahiran mereka tidak mencapai tahap diperlukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia